Berita Hari Ini

192 orang tertimbus di Sri Lanka

ANGGOTA tentera Sri Lanka yang terlibat dalam operasi menyelamat berada di lokasi tanah runtuh di Koslanda kelmarin:-

COLOMBO – Sekurang-kurangnya 192 orang hilang susulan kejadian tanah runtuh di tengah Sri Lanka, menurut Pusat Pengurusan Bencana semalam.

Beberapa pegawai memberitahu, angka rasmi itu dikeluarkan selepas kira-kira 500 askar dan sukarelawan menyambung semula usaha mencari mangsa yang hilang.

Jurucakap tentera Sri Lanka, Brigedier Jeneral Jayanath Jayaweera berkata, operasi mencari dan menyelamat di kawasan Meeriyabedda, Koslanda yang terletak sekitar 200 kilometer dari sini itu disambung semula walaupun cuaca buruk.

“Risiko lebih banyak tanah runtuh dan kesukaran untuk sampai ke kawasan bencana menyukarkan operasi menyelamat,” katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 14 orang disahkan terkorban dalam bencana itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Mahinda Rajapakse melawat lokasi bencana semalam dan menemui sebilangan keluarga yang kini tinggal di beberapa penempatan sementara.

Terdahulu, Menteri Pengurusan Bencana, Amaraweera menyatakan lewat kelmarin bahawa kira-kira 150 orang dipercayai tertimbus di dalam lumpur tetapi pihak berkuasa masih berusaha untuk mendapatkan angka muktamad.

Hujan lebat itu menyebabkan tanah runtuh di kawasan bencana seluas sekitar 3.5 kilometer, manakala banjir lumpur menenggelamkan sejumlah 150 buah rumah pekerja ladang teh di kawasan sekitarnya.

– Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");