Jenayah

Adik, kakak ‘pergi’ bersama

Sandakan: Dua beradik perempuan maut manakala tujuh parah termasuk ibu mereka apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Batu 26 Jalan Labuk, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, dua beradik perempuan berusia lapan dan tujuh tahun yang belum dikenal pasti identiti mereka dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Duchess Of Kent.

Tujuh lagi mangsa yang dilaporkan cedera parah ialah pemandu Proton Wira Ivan Jul, 27, Bimah, 40, Adimil, 29, Kadimir, 15, Azlan, 8, dan dua lagi mangsa iaitu perempuan dan lelaki yang tiada pengenalan diri berusia 30 dan 12 tahun.

Difahamkan, semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Batu 32, dekat sini, namun sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Kinabatangan menuju ke Sandakan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu di Batu 26 Jalan Labuk, di sini, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal lalu bertembung dengan Proton Wira yang dinaiki sembilan keluarga.

“Akibat kejadian itu, sembilan orang iaitu pemandu dan penumpang kereta Proton Wira mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent untuk rawatan.

“Bagaimanapun dua beradik yang juga penumpang kereta Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, tujuh lagi termasuk pemandu Proton Wira dan ibu dua kanak-kanak berkenaan kini masih menerima rawatan di hospital yang sama akibat parah.

“Sementara itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Sehingga kini, pengenalan diri semua mangsa termasuk dua beradik yang maut masih belum ditemui,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");