Membawang Hari Ini

Air mata gemilang

Melakar kejayaan berganda pada malam final Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2014 di Auditorium Perdana Angkasapuri, baru-baru ini tidak mampu menyembunyikan kesedihan Fitri Hiswady Hasan Nordin, 24, yang terpaksa meraikan detik gemilang itu tanpa kehadiran keluarganya.

Selain juara kategori lelaki, graduan muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini juga mengungguli kategori Persembahan dan Vokal Terbaik sekali gus membolehkannya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM12,000 serta piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Fitri ketika ditemui berkata, bapanya kini berada di Makkah menunaikan ibadah haji manakala adik-beradiknya yang lain tidak dapat hadir kerana terikat dengan urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Saya memang terkejut kerana langsung tidak meletakkan sebarang harapan atau sararan untuk menang. Persiapan yang saya lakukan hanyalah untuk melakukan persembahan terbaik, berseronok dan menghiburkan penonton.

“Walaupun sedih tanpa kehadiran ahli keluarga, tetapi ramai teman yang hadir dan ini memberi saya semangat untuk beraksi sebaik mungkin,” katanya mempertaruhkan lagu Jalinan Kasih dan Zapin Rao.

Baru saja menamatkan pengajiannya di ASWARA dan kini mengajar vokal di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Enfiniti Academy, bakat pemuda berasal dari Perak ini dalam menyanyikan lagu asli diwarisi daripada arwah ibunya.

“Ibu seorang penyanyi lagu asli semasa mudanya. Justeru, sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan lagu-lagu asli pelbagai rentak seperti inang, zapin, joget, masri dan ghazal.

“Namun di antara kami lima beradik, bakat ibu menurun kepada saya saja,” katanya sedia menjadi artis rakaman jika diberikan tawaran.

Dalam pada itu, juara kategori wanita menjadi milik Nurul Syafiqah Mohd Khambali, 20, dari Kluang, Johor yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Membawakan lagu Nadaku Sayang dan Airmata Hati, suara lunak serta latar belakang keluarga seni termasuk pendedahan menyanyikan lagu-lagu berirama asli sejak kecil memberi kelebihan kepada Nurul untuk menyerlah berbanding peserta lain.

Malam itu itu menjadi malam indah buat Mohd Nurhakimi Md Yaman, 24, yang membawakan lagu Resah Hati dan Joget Secawan Kopi termasuk Syaimaa Salleh, 22, dengan lagunya Seri Rembulan dan Ya Allah Ya Saidi apabila diumumkan sebagai naib johan mewakili kategori lelaki dan wanita.

Sementara, Fazli Awang, 25, yang menyampaikan lagu Doa Dan Airmata dan Zapin Sri Pekan serta Noorhanida Saman, 23, menerusi pertaruhan lagu Rumpun Setaman dan Joget 106, tetap berpuas hati di tempat ketiga.

Kemenangan setiap peserta diadili barisan juri profesional seperti Datuk Ramli MS, Siti Hajar Ismail, Raffah Bachik, Jimmy Ali dan Hazwan Haziq Rosebi.

Sementara itu, enam peserta yang menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000 beserta sijil penyertaan ialah Mohammad Fadhullah Samad, Khairil Fadzly Rosli, Abdul Rahman Mahadi, Noor Aine Yusof, Nor Azimah Buang dan Nur Azah Abu Samah.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli. Pertandingan ini ialah program kerjasama strategik anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama RTM yang mula diperkenalkan pada 1996 dan seterusnya menjadi acara tahunan.

Sejak dipertandingkan, ia berjaya melahirkan ramai penyanyi terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Syura, Siti Nordiana, Farawahida, Asmidar, Alif Azfar dan ramai lagi. -hmetro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");