Laporan Eksklusif

Belajar pengetahuan dalam bahasa Inggeris tak menjejaskan bangsa Melayu – Dr Mahathir

Umum mengetahui Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan orang yang tidak mudah mengalah, apatah lagi sekiranya beliau yakin hujahnya adalah benar.

Bekas Perdana Menteri pada Isnin mengulangi lagi pendiriannya mengenai kepentingan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, ia bukan satu perkara yang dianggap sebagai tidak patriotik tetapi satu keperluan supaya negara dan rakyatnya boleh terus maju dengan pengetahuan yang diperolehi.

Memperolehi sesuatu pengetahuan melalui bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, tidak akan menjejaskan rakyat Malaysia atau bangsa Melayu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata beliau telah membuat keputusan kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris semasa beliau menjadi perdana menteri kerana menyedari kebanyakan bahan bacaan yang ada adalah dalam bahasa Inggeris, terutama bagi mereka yang mendaftar untuk belajar dalam bidang perubatan dan peringkat Sarjana dan PhD, sehinggalah ke hari ini.

“Saya sedar dengan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran, orang kita akan ketinggalan dalam mengejar ilmu.

“Bukan saya tidak suka bahasa saya atau bangsa saya. Saya hanya menjadi pragmatis. Kita hanya akan merampas pengetahuan hanya kerana kita mahu menekankan penggunaan bahasa, “katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa negara ini juga memerlukan orang yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, penyelidikan dan penemuan, katanya.

“Hanya jika kita menyumbangkan pengetahuan dan maklumat kepada dunia kita boleh menyatakan bahawa kita adalah sebuah negara maju,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada majlis pelancaran “UKM in Space”, program yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mempromosikan sains angkasa di kalangan pelajar.

Ia diadakan sempena memperingati ulang tahun ketujuh pengembaraan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa.

Beliau berkata walaupun pelajar menuntut ilmu dalam bahasa Inggeris, perlu ada dorongan kuat untuk membawa bahasa Melayu ke tahap ‘bahasa ilmu’ seperti Rusia, Jerman dan Jepun.

Dr Mahathir berkata sekarang Malaysia telah menghantar manusia ke angkasa lepas, dan selepas itu perlu menggalakkan rakyatnya memperoleh pengetahuan yang diperlukan di bidang sains angkasa dan ‘bagaimana untuk membina roket’.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mahir dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan keyakinan pelajar dalam berkomunikasi dengan dunia.

“Tiada gambaran yang lebih hebat mengenai kemajuan negara daripada penglibatan pelajar kita di peringkat antarabangsa. Ini adalah kebenaran yang nyata,” kata Muhyiddin yang juga menteri pendidikan.

Pelajar yang menguasai bahasa Inggeris akan memacu negara ke peringkat lebih tinggi dengan kemampuan mereka untuk mengetengahkan idea dan penyelesaian yang hebat, katanya semasa berucap pada penutup Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris peringkat kebangsaan di Kuantan pada Isnin.-21/10/2014/agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");