Berita Hari Ini

Belia Muflis: Jabatan Insolvensi Adakan Kerjasama Dengan 1M4U

PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi akan mengadakan kerjasama dengan program 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi memupuk kesedaran belia mengenai kebankrapan dan mendidik golongan itu menangani bankrap.

Ketua Pengarahnya, Haslina Mansor berkata, rangka kerjasama yang akan diadakan itu bertujuan untuk mendekati golongan belia menerusi program yang bersesuaian dan dapat menarik minat mereka.

“Jabatan Insolvensi telah merangka program kerjasama dengan 1M4U bagi mendekati golongan belia secara lebih dekat dan memberi kesedaran kepada golongan ini mengenai kebankrapan,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Program 1M4U merupakan inisiatif Kerajaan dalam usaha untuk memupuk semangat sukarelewan di kalangan belia di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pada Ahad lalu berkata, kadar belia berumur 25 tahun ke bawah yang diisytiharkan bankrap di negara ini semakin membimbangkan berikutan seramai 579 individu direkodkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding keseluruhan 208 individu pada tahun lepas dan 130 individu pada tahun sebelumnya.

Haslina berkata, sebanyak 148 program promosi dan kesedaran insolvensi kepada masyarakat dan 15 daripadanya merupakan program khusus membabitkan belia.

“Pada masa ini antara program yang dilaksanakan membabitkan golongan belia ialah kerjasama pintar dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi nasihat dari segi pengurusan kewangan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Insolvensi mengadakan perbincangan bersama AKPK dalam usaha mewujudkan program lebih berstruktur untuk menangani muflis dan membuat pencegahan awal daripada diisytiharkan dalam kebankrapan.

“Langkah ini seterusnya mendapatkan kaedah terbaik bagi mengelakkan golongan muda daripada menjadi muflis,” katanya.

Ditanya mengenai program khusus terhadap belia muflis, Haslina berkata, tiada cara lebih baik untuk membantu golongan bankrap selain mereka sendiri perlu hadir dan bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi sebagai pentadbir kes kebankrapan.

“Bagi memastikan kes dapat dikendalikan secara berkesan, golongan belia yang muflis perlu hadir dan memenuhi tanggungjawab mereka kepada jabatan ini.

“Jabatan Insolvensi hanya boleh membantu sekiranya mereka membantu diri mereka sendiri dengan mengemukakan maklumat yang diperlukan secara telus,” katanya.

Menurut Haslina, berdasarkan kajian dan maklum balas semasa program yang dijalankan, golongan belia amat mengalu-alukan program kesedaran insolvensi.

“Mereka (belia) mencadangkan supaya program seumpama ini dapat diadakan lebih kerap dan mengkhususkan golongan belia.

“Maklumat mengenai insolvensi ini merupakan satu pendedahan baharu dan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");