Perak Hari Ini

Doa, Dorongan Ibu Penguat Semangat Hafaz 30 Juzuk Al-Quran

Dorongan kuat ibu tercinta menjadi rahsia kejayaan salah seorang penerima Anugerah Hafiz Muda, Mohd Lokman Hakim Ishak yang mula menghafaz 30 juzuk Al-Quran sejak dari tahun 2010.

Anak kelima daripada 10 adik beradik yang berusia 13 tahun itu berjaya menghafaz kesemua surah dalam Al-Quran dalam tempoh hanya dua tahun.

Beliau yang kehilangan ayah pada usia tiga tahun berkata, ibunya menjadi pendorong kuat di sebalik kejayaan itu.

“Doa yang tidak pernah putus daripada ibu, perasaan minat untuk mendalami Al-Quran dan juga usaha bersungguh-sungguh menjadi pendorong untuk saya menghafaz kesemua surah tersebut,” katanya lagi.

anugerah (3)

Sementara itu, Sekolah Raja Perempuan Taayah pula dinobatkan sebagai Sekolah Inovasi berikutan kejayaan memenangi pelbagai anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut pengetua sekolah itu, Noor Aini Zainal Abidin, kejayaan tersebut sekaligus membuktikan bahawa sekolah aliran agama juga mampu untuk mengharumkan nama negara sama seperti sekolah aliran biasa.

“Sekolah ini mencipta pelbagai alatan yang telah memenangi beberapa anugerah termasuklah mencipta satu produk baru berasaskan teknologi hijau.

“Ini secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa sekolah aliran agama juga mampu untuk bersaing dengan sekolah lain serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan bahawa sistem pembelajaran yang digunakan dalam sekolah aliran agama adalah selari dengan tuntutan sistem pendidikan negara.

“Selama ini, orang ramai melihat pelajar sekolah agama itu hanya menghafal Al-Quran tetapi yang sebenarnya, kami turut menggunakan inovasi sains dalam sistem pendidikan.

“Ia jelas menunjukkan institusi ini relevan dengan sistem pendidikan negara berikutan cara pembelajaran yang diamalkan di sekolah tersebut hampir sama dengan sekolah harian,” tambahnya.

Antara kejayaan yang dilakar Sekolah Raja Perempuan Taayah ialah mencipta produk Green Matbakh iaitu menapis asap masakan, Z_Filter (pengasing bahan seperti minyak masak daripada bahan lain ketika membasuh), Multimisht (sikat yang mempunyai teknologi mengurut) dan juga Alcane Tooth Brush (berus gigi yang dilengkapi dengan ubat gigi).

Produk tersebut telah memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan dalam dan luar negara antaranya di Romania serta Jakarta di Indonesia.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada pemenang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Sekolah-sekolah Agama Peringkat Negeri Perak 2014.

Antara anugerah yang disampaikan termasuklah Anugerah Tokoh Khas Guru (SMAR/SABK/SMAN), Anugerah Khas Jasamu Dikenang, Anugerah Khas Penyelia KAFA, dan Anugerah Khas Guru SRAR KAFA, Hafiz 30 Juzuk dan Sekolah Inovasi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");