Berita Hari Ini

Ebola: Komanwel digesa rangka pelan bersepadu

PUTRAJAYA – Negara-negara Komanwel menghadapi gesaan yang meningkat untuk merangka pelan bersepadu bagi memerangi penularan wabak Ebola di Afrika Barat yang setakat ini telah mengorbankan 4,500 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Pentadbiran Awam Afrika Selatan Dr Patrick M. Sokhela berkata melalui penyelarasan dan kerjasama yang berkesan, negara-negara perkumpulan itu boleh menyedia dan bertindak cepat jika negara mereka dilanda wabak penyakit itu.

“Saya fikir sudah tiba masanya kita (negara-negara Komanwel) merangka pelan bersepadu mengenai isu ini. Ini sebahagain daripada perubahan yang kita perlu lakukan kerana krisis Ebola menyebabkan kita perlu bekerjasama untuk menanganinya,” kata beliau kepada Bernama di luar Persidangan Dwi Tahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 semalam.

Sierra Leone, yang dilanda Ebola, ialah anggota Komanwel manakala dua negara bukan anggota Komanwel yang turut dilanda wabak penyakit itu ialah Guinea dan Liberia.

Menteri Perkhidmatan dan Pentadbiran Awam Afrika Selatan Collins Chabane berkata negara-negara Komanwel harus segera menyalurkan dana, bekalan dan peralatan perubatan untuk membantu ketiga-tiga negara Afrika Barat itu memerangi wabak Ebola selain menyelamatkan ekonomi mereka.

Ini ekoran kebimbangan bahawa menyisihkan Guinea, Liberia dan Sierra Leone dalam memerangi penularan wabak itu mungkin boleh membawa keruntuhan ekonomi ketiga-tiga negara itu yang bergelut dengan apa yang pasti sekarang ialah krisis global.

Beliau berkata Ebola tidak lagi masalah Afrika tetapi sekarang telah menjadi krisis antarabangsa kerana wabak penyakit itu telah melanda negara-negara lain.

Wabak penyakit itu telah merebak ke Amerika Syarikat apabila seorang lelaki dari Liberia yang berkunjung ke Texas meninggal dunia pada 8 Okt manakala dua orang jururawat yang merawatnya kini dijangkiti wabak itu.

Terdapat kebimbangan bahawa mangsa serta kedua-dua jururawat itu mungkin dijangkiti akibat sentuhan dengan orang lain tetapi tidak menyedarinya.

Chabane berkata Afrika Selatan dan negara-negara serantau telah menghantar bantuan, menerima nasihat dan membantu satu sama lain melalui pelbagai cara untuk cuba membendung penularan wabak itu.

“…tetapi kami cuba mengelak keadaan untuk menutup sempadan negara-negara ini kerana ini akan menimbulkan implikasi lain, contohnya, ekonomi negara-negara itu berkemungkinan akan jatuh merudum,” kata beliau kepada Bernama.

“Kita perlu cuba dan membantu satu sama lain untuk memastikan sekurang-kurangnya kita menangani penyakit itu,” kata beliau.

Justeru, beliau berharap negara anggota Komanwel, kebanyakan negara Afrika, akan memberi sumbangan untuk membantu negara-negara itu sebelum teruk terjejas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara memberi sumbangan kewangan serta bantuan dengan menghantar pakar dan doktor, peralatan perubatan dan sumber lain untuk memerangi wabak itu.

Felton Thokozani Mhlongo, Setiausaha Rendah bagi Kerajaan di Swaziland, berkata negaranya telah mengambil semua langkah perlu.

Sokhela memberi amaran bahawa dengan pengunjung yang keluar masuk antara satu negara ke negara lain, sesetengah negara mungkin telah dilanda wabak itu tanpa menyedarinya.

Pelan bersepadu membolehkan negara-negara berkenaan berkongsi data mengenai tahap penularan wabak itu dan menyediakan pakar untuk memerangi wabak itu yang setakat ini nampaknya tidak terkawal di ketiga-tiga negara terbabit.

Sokhela juga mencadangkan supaya kerajaan mendokumenkan kajian kes mengenai wabak yang belum dapat dibendung supaya pengajaran yang diperoleh untuk menangani penyakit dapat digunakan untuk rujukan masa depan.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Awam Nigeria, Danladi Irmiya Kifasi berkata beliau gembira menerima laporan bahawa negaranya diisytiharkan oleh WHO bebas daripada Ebola walaupun lapan daripada 20 orang yang dijangkiti penyakit itu telah meninggal dunia.

Sementara itu, dilaporkan hari ini bahawa WHO mengisytiharkan Nigeria dengan rasminya bebas Ebola, selepas 42 hari — atau dua tempoh inkubasi — tanpa sebarang kes baharu disahkan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");