Berita Hari Ini

Esszone lebih selamat dari Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kawasan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) sebagai lebih selamat berbanding Kuala Lumpur.

Menurutnya, semua pihak perlu yakin dengan tahap keselamatan di kawasan perairan timur Sabah berdasarkan kawalan keselamatan yang ketat.

“Saya rasa di kawasan Esszone ini kita bergerak dalam keadaan yang kita sentiasa diperhatikan oleh pasukan keselamatan.

“Malah (berbanding) di Kuala Lumpur ini, saya rasa Esszone lebih selamat kerana kita diperhatikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Makin @ Marcus Majigoh (BN-Putatan) di Dewan Rakyat, semalam.

Shahidan berkata, Esszone juga disahkan selamat termasuk bagi tujuan pelancongan.

“Baru-baru ini saya pergi ke Sabah dan sempat berborak dengan seorang pelancong. Saya tanya kenapa dia masih ke sini, dia jawab di kawasan itu mereka dapat kawalan keselamatan yang baik. Nak pergi tengok penyu pun ada anggota keselamatan memerhatikan mereka,” katanya.

Tambahnya, perintah berkurung di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang dikuatkuasakan sejak Julai lalu juga turut tidak menjejaskan sektor ekonomi khususnya pelancongan dan perikanan.

“Kawasan Esszone yang dikendalikan oleh Esscom ini adalah kawasan yang selamat, dan saya pergi tiap-tiap minggu ke Sabah untuk melihat sendiri keadaan keselamatan di sana serta masuk ke kawasan dikatakan tidak selamat dan Insya-ALLAH selamat,” katanya.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");