Sukan Hari Ini

Harimau Selatan mahu rantai kelibat Dickson, Matias Conti

AL-HAFIZ bakal diberi peranan menjaga gawang Johor DT pada aksi menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok:-

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) mengambil pendekatan mudah untuk menyekat Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Strategi paling berkesan buat Johor DT untuk mematikan langkah lawan mereka itu ialah dengan merantai kelibat penggempur utama Pahang, Dickson Nwankame dan Matias Conti.

Jika ia berjaya dilaksanakan oleh pemain Johor DT, tugas mereka untuk mengecewakan Pahang selaku juara bertahan Piala Malaysia akan menjadi lebih mudah.

Strategi tersebut dilihat lebih berkesan, malah diakui penjaga gol Johor DT, Muhd. Al-Hafiz Hamzah dan dia menasihati rakan-rakan sepasukannya supaya mematikan langkah penyerang berbisa Pahang itu jika berhasrat membawa pulang trofi Piala Malaysia ke bumi Johor.

Al-Hafiz, 30, sebelum ini dibolosi dengan empat gol ketika pasukan juara Liga Super 2014 itu tewas 3-4 kepada Felda United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu.

Pada pertemuan itu, kegagalan pertahanan Johor DT merantai trio import Felda United menyaksikan pasukan Harimau Selatan hampir tersingkir daripada saingan sebelum meraih kemenangan 3-1 pada sepauh akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, sekali gus menyelamatkan semula maruah mereka.

Justeru, menjelang perlawanan akhir dengan juara bertahan, Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok, Al-Hafiz berharap barisan pertahanan mereka dapat mengekang pergerakan Dickson dan Conti bagi memastikan tugasnya sebagai benteng terakhir gawang Johor DT sekali lagi tidak dikecewakan.

“Aksi final tidak sama seperti saingan pada peringkat kalah mati yang berlangsung secara timbal balik. Jika kami kalah di final, kami tidak dapat menebusnya.

“Jadi, saya berharap kami dapat merantai pergerakan pemain berbahaya Pahang seperti Dickson dan Conti. Kedua-dua pemain ini amat berbahaya jika dibiarkan bergerak bebas seperti yang telah dibuktikan ketika mereka membelasah Kedah 5-0 pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan baru-baru ini,” kata Al-Hafiz ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, Al-Hafiz tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya yang ketika ini sudah bersedia untuk turun berjuang bermati-matian bagi membawa pulang trofi kedua mereka musim ini.

Dia yang mendapat kepercayan jurulatih, Bojan Hodak untuk menggantikan Izham Tarmizi yang mengalami kecederaan, turut mengakui terdapat sedikit tekanan ke atasnya untuk beraksi dengan lebih baik berbanding sebelumnya.

“Tekanan memang ada dirasai kerana ini merupakan perlawanan akhir, semua orang mahu menang dan tidak mahu melakukan kesilapan pada perlawanan penting ini.

“Namun, saya yakin saya dan rakan-rakan lain sudah bersedia sepenuhnya. Kami akan turun memberi komitmen 110 peratus di atas padang dan memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan.

“Pahang mungkin ada Dickson dan Conti, tetapi kami juga ada Luciano (Figueroa) dan Jorge (Pereyra Diaz). Jadi saya rasa ia akan menjadi satu lagi pertarungan sengit malam esok,” tambahnya lagi.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");