Perak Hari Ini

‘Kempen I Want Touch A Dog’ Agenda Halus Tanam Fahaman Liberal, Plural Di Kalangan Umat Islam: Kazim

2014-10-20 14.03.14

Pendakwah terkenal dari Perak, Ustaz Mohd Kazim Elias hari ini menyifatkan kempen ‘I Want To Touch A Dog’ sebagai agenda halus pihak tertentu yang ingin memplural dan meliberalkan fahaman umat Islam di negara ini.

Dalam kenyataan di laman Facebooknya, beliau berkata, acara itu adalah umpama jarum halus yang dicucuk kepada umat Islam agar berfahaman liberal dan plural.

“Ianya satu gerakan yang cukup halus untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan dan dimulakan dengan kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan mengubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya…berhati-hatilah dengan kempen sebegini,” menurut beliau lagi.

Beliau mengulas acara ‘I Want to Touch a Dog’, sebuah acara bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Acara yang bermula pada jam 8 hingga 10 pagi di Central Park, Bandar Utama, semalam itu turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Ustaz Mohd Kazim berkata lagi, namun amat sayang sekali kerana ada segelintir umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti agenda di sebalik kempen tersebut.

Beliau berkata, membela anjing untuk menjaga kebun dan keselamatan rumah serta mengesan barang jenayah adalah tidak dilarang malah diharuskan dalam Islam.

“Tetapi nak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing ayam dan lain-lain tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan urusan ibadat seharian.

“Mana boleh saja-saja bela, saja-saja pegang,” katanya sambil mempersoalkan sebab apa haiwan itu perlu dipegang sebegitu rupa.

Mohd Kazim turut mempersoalkan kenapa kempen ke masjid, kempen menerima hudud dan kempen menerima konsep Allah yang sebenarnya tidak dianjurkan sebaliknya menganjurkan kempen 1 Want To Touch A Dog’ sedangkan anjing adalah binatang mughalazah seperti babi.

“Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak, datang pula kempen anjing dan apa pula selepas ini? Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dan diternak dalam ‘aircond’serta mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");