Perak Hari Ini

Kerajaan Arah Jabatan Perhutanan Perak Berada Di Lapangan Pantau Pembalakan Haram

Kerajaan mengarahkan agar Jabatan Perhutanan Perak untuk sentiasa berada di lapangan bagi memantau kegiatan pembalakan haram di negeri itu.

Jelas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pelbagai pendekatan telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan namun permasalah belum mampu diatasi sepenuhnya.

“Pihak jabatan perlu sentiasa berada di lapangan kerana kegiatan ini sering berlaku di kawasan terpencil yang memerlukan perhatian khusus dan ia bukan sekadar pembalakan haram tetapi juga termasuklah kegiatan mencuri kayu gaharu,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau katanya, dimaklumkan berlaku aktiviti pembalakan haram membabitkan kawasan hutan seluas 280 hektar di Pengkalan Hulu.

“Baru-baru ini saya diberitahu kira-kira 280 hektar kawasan hutan balak telah ditebang dan dibersihkan…..aktiviti ini juga mencurigakan,” tegasnya.

Kegiatan itu tambah beliau, seharusnya tidak dipandang mudah, berikutan kegiatan pembalakan haram berkenaan bakal memberi impak yang cukup negatif kepada alam sekitar dan orang ramai.

“Jabatan tersebut akan terus memperketatkan peraturan sedia ada dan mengaplikasikan pelbagai langkah yang bersesuaian untuk membendung perkara ini,” ulasnya lagi.

Kerajaan negeri juga katanya, mahu kelemahan peraturan sebelum ini diperbaiki agar bersesuaian dengan peraturan dan kaedah pelaksanaan masa kini.

“Pihak berwajib perlu mengesan kawasan yang telah pun dibenarkan untuk tujuan pengeluaran dan kawasan yang sama sekali tidak dibenarkan bagi aktiviti berkenaan,” katanya lagi.

Tambah Zambry lagi, jabatan terbabit juga digesa supaya sentiasa berada di lapangan dan kawasan terpilih untuk membuat penandaan kawasan berdasarkan kepada kawasan yang telah diperuntukkan untuk tujuan penerokaan hutan.

“Bukan hanya bertindak memantau melalui kertas sahaja namun berada juga di lapangan diperketatkan bagi mengetahui kawasan yang telah dicerobohi,” katanya.

Kerajaan negeri juga mengesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan pencerobohan hutan atau kegiatan mencurigakan di setiap kawasan dengan kadar segera.

Pemantauan yang berterusan katanya terbukti berjaya mengurangkan kegiatan berkenaan namun aktiviti pembalakan haram tersebut masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

“Kawasan pengeluaran telah pun ditandakan berdasarkan kepada kajian dan penilaian yang dibuat sama ada kawasan tersebut boleh diteroka atau tidak,” katanya lanjut.

Ujarnya lagi, sikap pihak tidak bertanggungjawab tersebut memilih kawasan untuk diteroka tanpa mengambil kira lokasi itu dibenarkan atau tidak dan hanya mengikut hawa nafsu bakal memberi kesan kepada alam sekitar sedikit masa lagi.

Kerajaan negeri katanya, bakal menanggung pelbagai masalah mengenai kesan pembalakan haram.

“Orang ramai perlu mempunyai kesedaran supaya sama sekali tidak menjalankan aktiviti sebegitu dengan memikirkan kesannya di kemudian hari,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");