Perak Hari Ini

Kegiatan Bakar Tayar Di Perak Dipantau Rapi: Dr Mah

Kerajaan Perak akan terus memantau kegiatan pembakaran tayar atau juga dikenali sebagai ‘pyrolysis tyre’ secara haram bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan ancaman kesihatan kepada orang ramai di kawasan yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata rekod Jabatan Alam Sekitar Perak (JAS) mendapati terdapat lebih 25 pengusaha menjalankan perindustrian tayar tanpa lesen yang sah di seluruh Perak.

“Pihak yang mengusahakan kegiatan membakar tayar di Kampung Gajah juga telah diarahkan menghentikan operasi mereka dan adalah baik kerajaan jika dapat keluarkan notis tutup sementara waktu untuk pengusaha haram yang lain dan pada masa yang sama menggalakkan mereka menggunakan piawaian yang baru bagi menggantikan kaedah lama,” tegasnya lagi.

Jelas Mah lagi, walaupun tindakan telah diambil terutama sekali daripada JAS, namun masih terdapat segelintir pengusaha belum mematuhi sepenuhnya arahan yang telah dikeluarkan jabatan.

“Memang tiada sebarang lesen untuk aktiviti ‘pyrolysis’ dikeluarkan namun masih terdapat segelintir pengusaha yang menggunakan lesen perniagaan seramik dan tapak tersebut untuk tujuan lain,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Hasil penelitian terhadap kilang-kilang tersebut juga mendapati kegiatan tersebut tidak mematuhi tahap piawaian yang baik seperti di kawasan sekitar Simpang Pulai dan Chemor, katanya.

Jelasnya lagi, hasil perbincangan dengan Presiden Malaysian Association Of Tyre Retreaders & Dealers Societies (MATRDS), Tan Heong Thong dan JAS, kaedah terkini ‘pyrolysis’ yang digunapakai di luar negara boleh diperkenalkan di Malaysia mengatasi masalah tersebut.

“Sejak lebih 10 tahun lalu, penjual tayar di negara kita berhadapan dengan masalah pelupusan tayar terpakai dan sehingga ke hari ini, pelbagai cara difikirkan selain daripada melonggokkannya di premis mereka memandangkan penggunaan tayar terpakai untuk pembiakan terumbu karang juga tidak sesuai,” katanya.

Katanya lagi, di Perak sahaja, terdapat 400 penjual tayar dengan anggaran sebanyak 8,000 tayar yang terpakai dihasilkan dalam tempoh sebulan.

“Tidak dinafikan segelintir pengusaha telah memasang alat tambahan untuk mengurangkan pencemaran, namun ada cara yang lebih moden boleh dipraktikkan bagi mengurangkan masalah pencemaran secara keseluruhannya,” jelas Mah.

Sementara itu, melalui kaedah baru dari China, 95 peratus tayar boleh digunapakai semula dalam bentuk keluli dan karbon hitam dan lima peratus lagi boleh dijadikan sumber tenaga menjadi bahan api.

“Pemasangan alat sistem pyrolysis yang lebih efisien adalah salah satu jalan penyelesaiaan yang telah digunapakai di negara maju termasuklah Amerika Syarikat, Australia dan Sepanyol.

“Saya harap pihak pengusaha dapat bekerjasama sama ada dengan menggunakan cara standard piawaian yang baharu tanpa mencemarkan alam sekitar,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, pendekatan sedemikian merupakan model perniagaan yang baik untuk menyelesaikan masalah semua pihak.

Sementara itu, menurut Tan, penyelesaian kepada masalah melupuskan tayar terpakai sudah lama dijalankan bagi membantu penjual tayar yang berhadapan dengan masalah tersebut.

“Kaedah ‘pyrolysis’ ini boleh membantu dan merupakan kaedah yang terbaik tetapi perlu mengunakan sistem dan cara yang betul bukannya seperti bakar ‘cara kampung’ yang digunakan selama ini di Malaysia kerana ia akan memudaratkan kesihatan dan pencemaran alam,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah JAS Perak, Abdul Razak Abdul Manap, setakat ini, pihaknya JAS telah mengeluarkan 61 kompaun, 44 notis dan menyita peralatan membabitkan 18 pengusaha kilang tayar sekitar Perak.

“Pihak JAS akan sentiasa memantau dan menggalakkan penguasaha menjalankan kegiatan perindustrian dengan kaedah betul tapi isu ini merupakan kaedah yang telah digunakan sejak dahulu lagi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");