Berita Hari Ini

Kompleks pasar segar alaf baru

Kuala Lumpur: Sebuah kompleks perniagaan dengan nilai pelaburan mencecah RM57 juta bakal dibina berhampiran Plaza Pudu, sekali gus menyediakan pelbagai kemudahan untuk komuniti awam di sekitar bandar raya.

Kompleks Perniagaan Bersepadu (ICC) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2016 itu bakal menjadi lokasi tumpuan warga kota yang berkonsepkan pasar makanan segar ‘alaf baru’ dengan kemudahan lengkap, bersih dan selesa.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek itu menggabungkan pasar, gerai penjaja, kedai, kompleks letak kereta serta dewan komuniti yang komprehensif dan moden.

“Projek ICC hasil kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 1Malaysia Development Bhd Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), pemaju projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dibina untuk mempertingkatkan lagi persekitaran serta kualiti hidup warga kota melalui pembangunan kemudahan komuniti awam yang bersepadu.

“Malah, projek ini juga bertujuan memindahkan penjaja di Pasar Bukit Bintang ke ICC yang terletak di Jalan Davies dan Jalan Kijang, dekat sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah ICC, di sini, semalam.

Menurutnya, ICC yang berkeluasan satu hektar berada kurang daripada satu kilometer dari lokasi Pasar Bukit Bintang dan membabitkan penempatan semula 257 penjaja yang kini berniaga di pasar berkenaan terutama mereka yang sudah beroperasi melebihi 30 tahun.

“Pemindahan ini dijangka dapat memberi manfaat menyeluruh bukan saja kepada penjaja pasar sedia ada malah untuk komuniti di kawasan Imbi dan Pudu selain menambah baik persekitaran hidup di ibu kota supaya kebersihan lebih terjamin.

“Pembinaan ICC ini juga dilengkapi dengan 208 unit gerai untuk pasar basah, 85 unit medan selera, 19 lot komersial, 576 petak kereta, 92 petak motosikal, dewan banquet yang boleh menempatkan 830 orang, dewan serbaguna (240 orang) serta dilengkapi gelanggang badminton, bola tampar dan bola keranjang,” katanya.

Menurutnya, dengan reka bentuk dalaman dan luaran bangunan yang ikonik serta berkualiti diharap ICC dapat menepati keperluan penduduk untuk pelbagai aktiviti sosial dan komersial.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");