Sukan Hari Ini

Kontinjen Malaysia atasi sasaran pingat emas di Sukan Para Asia Incheon

INCHEON: Berbaki sehari sebelum temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan menutup tirainya esok, kutipan pingat emas yang dikumpul kontinjen negara sudah pun jauh mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Kontinjen negara merangkul pingat emas ke-11, semalam dan dijangka bakal menambah kutipan emas hari ini dan esok mengatasi kutipan sembilan pingat emas yang diraih pada edisi di Guangzhou, empat tahun lepas.

Pingat ke-11 negara disumbangkan oleh atlet olahraga, Mohamad Faizal Aideal Suhaimi yang muncul juara dalam acara 100m Lelaki T12 dengan catatan masa 11.33 saat di Stadium Utama Asiad Incheon.

Kejayaan mengatasi jumlah sasaran yang ditetapkan jelas memberi semangat buat Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Abdul Jalil Abdullah yang berharap pungutan emas mampu ditambah.

“Ini adalah prestasi terbaik daripada atlet kita. Mereka bersungguh-sungguh untuk menaikkan nama negara di persada dunia.

“Saya harap kita akan dapat pungut lebih banyak pingat sebelum temasya ini berakhir,” katanya.

“Pingat negara seterusnya mungkin dapat diperoleh melalui sukan badminton dan boling padang… mungkin juga dari sukan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan acara olahraga, semalam.

Katanya, kejayaan meraih 11 pingat emas itu adalah hasil daripada program pembangunan atlet paralimpik yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Abdul Jalil berkata program yang bermula pada 2010 itu akan diteruskan untuk pembangunan sukan-sukan lain.

Tambahnya, atlet seperti Mohammad Azlan Mat Lazin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Siti Noor Radiah Ismail menjadi ikon negara bagi sukan paralimpik.

Pada hari kelima temasya itu hari ini, Malaysia sudah mengumpul 11 pingat emas, 17 perak dan 21 gangsa.

Seramai 135 atlet negara bertanding dalam 15 daripada 25 acara dipertandingkan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");