Perak Hari Ini

Laksana Hijrah Dalam Tadbir Urus Negara, Dunia Untuk Hadapi Era Globalisasi

Era globalisasi hari ini menuntut pemimpin melakukan hijrah dalam kaedah mentadbir urus negara dan dunia, demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Tegas baginda, order lama pemerintahan kini dilihat semakin rendah nilai mata wangnya (currency) sebaliknya order baru menuntut kepada kemahiran pimpinan menangani kontradiksi serta bersifat inklusif untuk membolehkan penyelesaian dicapai.

“Ia adalah cabaran besar kepada setiap pemimpin, setiap kerajaan dan setiap negara di serata dunia.

“Cabaran bertambah berat kerana komposisi warga berusia remaja semakin bertambah; terdiri dari kalangan yang semakin terpelajar dan terdedah kepada maklumat tanpa ada ikatan emosi dan ikatan sentimen dengan sejarah lampau,” titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah 1436H Peringkat Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri serta barisan exco negeri.

Sultan Nazrin bertitah, perubahan demografi yang berlaku melalui penghijrahan teknologi dengan begitu pesat juga tidak hanya menghamparkan peluang baru tetapi turut didatangi dengan cabaran baru.

“Ironinya, ketika masyarakat dunia kelihatan dirangkaikan melalui teknologi komunikasi, sikap tidak toleran semakin membuak, melahirkan kumpulan-kumpulan yang berfikiran fanatik dan cauvinis atas nama agama, mazhab, kaum ataupun kumpulan.

“Mereka bertindak secara ekstrem dengan melahirkan gerakan pengganas yang bertindak ganas, bertindak militan dan semakin menimbulkan konflik serta mencetuskan konfrontasi antara agama, mazhab, kaum dan kumpulan,” titahnya.

Baginda bertitah lagi, masyarakat dituntut untuk berperanan lebih dominan dalam menentukan tata urus tadbir negara serta ketelusan dan keterbukaan yang menjadi norma.

“Dunia sedang menyaksikan gerakan massa yang semakin meningkat, beralih daripada retorik kepada tindakan-tindakan yang lebih radikal, mencabar sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial di setiap negara.

“Isu-isu yang dibangkitkan berpotensi besar mencetuskan konflik dan mencetuskan revolusi berformat baru…. ia telah dan sedang berlaku di beberapa negara dan berkemungkinan sampai di persisiran pantai lebih banyak negara lagi,” titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda lagi, sewajarnya ummah pada hari ini disuntik kesedaran dan mendalami peristiwa hijrah.

“Hijrah tidak berkesudahan dengan perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

“Semangat hijrah wajib dihidupkan dan terus dijadikan sumber inspirasi untuk memberanikan insan merentasi sempadan baru, menerokai wilayah baru serta melakukan inovasi lbersifat kreatif.

“Dalam menghadapi era perubahan yang berlaku pada tahap kelajuan yang demikian pesat, risiko besar yang dihadapi oleh ummah adalah penangguhan yang terlalu lama untuk berhijrah hingga terlalu lewat melakukan pembaharuan,” titah baginda lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");