Sukan Hari Ini

Masih ada 90 minit

Kuantan: Tidak mustahil Pahang yang ketinggalan 1-3 akan bangkit menewaskan Kedah dengan jaringan besar pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam ini.

‘Orang Besi’ Tok Gajah, Dickson Nwakaeme berkata, semangat dan kesungguhan pemain ditunjukkan sepanjang sesi latihan menjelang perlawanan itu menyebabkan dia yakin kemenangan pasti memihak pasukannya.

Dickson yang tidak dapat beraksi perlawanan pertama di gelanggang lawan selepas menerima dua kad kuning berkata, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku walaupun ketinggalan dua gol, itu bukan bermakna peluang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sudah tertutup.

“Tempoh 90 minit akan menjadi penentu siapa yang akan muncul pemenang,” katanya.

Katanya, jurulatih Zainal Abidin Hassan sudah mengesan setiap kelemahan lawan dan pemain untuk merancang strategi bagi perlawanan kali ini.

“Saya yakin kami mampu menang besar. Kesungguhan pemain untuk bangkit kali ini begitu terserlah sepanjang sesi latihan.

“Saya harap dapat sekali lagi bergandingan dengan Matias Conti untuk menjaringkan seberapa banyak gol. Saya lebih rela membuka laluan kepada Conti untuk menghasilkan gol asalkan kami menang dengan jaringan besar,” katanya.

Beliau berkata, tugas jentera serangan hanya untuk memburu gol dan usaha itu tidak akan berhasil tanpa sokongan pemain tengah.

Nwakaeme yang terlalu ingin mendakap Piala Malaysia selepas menjulang Piala FA bersama skuad Tok Gajah berkata, semua pemain yang ditugaskan malam ini diharap dapat memberikan sepenuh tumpuan bagi mencari jaringan besar.

“Percaturan jurulatih sudah dilakukan ketika sesi latihan, kini terpulang kepada pemain,” katanya.

Menurutnya, kekecewaan sebelum ini tidak perlu dikenang lagi sebaliknya perlu dijadikan pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih menjinakkan Helang Merah.

Nwakaeme berkata, benteng diketuai Damion Stewart, Razman Roslan, Shahrizan Salleh dan Mohd Saiful Nizam Miswan termasuk penjaga gol Khairul Azhan perlu lebih bekerja keras menangkis asakan lawan.

Sementara itu, Stewart juga sudah bersedia membantu skuad Tok Gajah layak ke final Piala Malaysia.

Stewart meminta rakan di bahagian pertahanan mengekalkan prestasi konsisten dan tidak membenarkan lawan menembusi gawang.

“Saya harap segala-galanya memihak kepada kami esok. Kami mahu Piala Malaysia kekal di Pahang,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");