Berita Hari Ini

Pantau beras tiris

Shah Alam: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) mengakui wujudnya kes penyelewengan beras subsidi Super Tempatan 15 peratus hancur atau lebih dikenali sebagai ST15 dalam kalangan pemborong di negara ini.

Bagaimanapun, Presidennya, Ismail Awang berkata, bukan semua daripada 1,000 pemborong beras di seluruh negara terbabit melakukan kesalahan itu untuk mengaut keuntungan mudah daripada beras subsidi.

Mengulas lanjut, katanya, BARIM yang mempunyai 200 syarikat pemborong beras bernaung di bawahnya sentiasa melakukan pemantauan untuk memastikan tiada ahli yang terbabit dalam penyelewengan itu.

“Kami kawal ahli kami daripada terbabit dengan penyelewengan subsidi kerana apa yang kami harapkan golongan sasar mendapat manfaatnya. Jika ketirisan itu dilakukan bukan ahli BARIM, itu di luar kawalan.

“Setiap minggu kami meminta ahli memberi senarai peruncit yang mereka edarkan beras ST15 dan memeriksa adakah jumlah itu tepat dengan kuota sebagai pemborong yang diperoleh daripada Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).

“Ini bagi memastikan komoditi itu dapat dipasarkan kepada golongan sasar sebagaimana hasrat kerajaan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah melalui pemberian beras subsidi terbabit.

“BARIM hanya menjalankan tanggungjawab menjaga ahli persatuan, mungkin pihak lain mempunyai maklumat mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi RM400 bagi setiap tan beras ST15 dan pemborong mendapatkan kuota bekalan komoditi itu daripada BERNAS pada harga selepas subsidi RM1,350 setiap tan.

Bagaimanapun, katanya, kuota bekalan beras yang diperoleh setiap syarikat pemborong berubah-ubah setiap bulan mengikut kelulusan kuota yang ditentukan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Setiap bulan pada minggu ketiga, KPB mengadakan mesyuarat yang dijalankan Jawatankuasa Penentuan Kuota untuk menentukan kuota yang diberikan kepada pemborong pada bulan berikutnya dan kuota itu bukanlah tetap, sebaliknya berubah-ubah setiap bulan.

Ismail berkata, apa yang membimbangkan pihaknya ialah ke manakah baki beras itu disalurkan dan adakah ia sampai kepada golongan sasar dan beliau khuatir beras subsidi itu diseleweng pemborong yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada KPB yang mengawal pemberian kuota supaya melantik persatuan beras di negeri untuk menguruskan kuota diberikan.

“Sebagai pemain industri, persatuan beras di negeri lebih arif mengenai pemborong mana yang mampu menjual beras berkenaan kepada peruncit yang berada di kawasan golongan sasar.

“Kita cadangkan kementerian adakan kerjasama strategik dengan persatuan seperti BARIM supaya penentuan kuota dapat ditadbir urus dengan cara berhemah. BARIM juga bersedia berkongsi pengalaman dalam industri untuk menyelesaikan isu ini.

“Ini juga memudahkan KPB memantau pergerakan beras subsidi. Sekiranya berlaku penyelewengan, pihak berkuasa itu hanya perlu memanggil persatuan beras di negeri untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");