Membawang Hari Ini

‘Parkour’ selamat orang tersayang

Meskipun pasaran filem Melayu tempatan kini berhadapan masalah kutipan merudum, pembikinan karya baru ke layar perak tetap dite­ruskan.

Pelbagai genre cuba diketengahkan penerbit filem tempatan bagi memenuhi kehendak penonton. Turut sama mengambil inisiatif itu pastinya produksi Double Vision Pictures.

Di bawah sentuhan pengarah Simon Long, filem Rentap lakonan Zahiril Adzim, Syafie Naswip, Elfira Loy, Zaidi Omar dan ramai lagi akan menemui penonton di pawagam pada 4 Disember nanti.

Bagi menyemarakkan permulaan aktiviti promosi untuk Rentap yang bergenre aksi, berlangsung majlis pelancaran muzik video lagu tema filem itu, Carilah Duit nyanyian kumpulan One Buck Shot.

Diadakan di pusat karaoke Red Box Ria di ibu kota kelmarin, majlis sederhana itu berlangsung meriah dan lancar.

Simon berkata, filem Rentap diarahkan itu mengisahkan dua beradik yang mempunyai minat yang mendalam dalam sukan ‘parkour’.

Katanya, sukan ‘parkour’ masih agak baru di negara ini.

“Bagaimanapun, kebanyakan anak muda di negara ini tahu mengenai ‘parkour’. Ia sukan lasak yang memerlukan seseorang itu mempu­nyai disiplin dan sema­ngat berpasukan yang tinggi.

“Saya berminat me­ngetengahkan sukan ‘parkour’ ini kerana ia masih segar dan baru. Bahkan, ramai anak muda tempatan meminatinya.

“Idea untuk mengetengahkan sukan ‘parkour’ ini ke layar filem saya peroleh kira-kira dua tahun lalu. Ketika itu, saya menjalani penggambaran drama di Indonesia.

“Di sana, saya bertemu sekumpulan enam lelaki yang mahir dalam sukan ‘parkour’ ini. Saya berbincang dengan mereka dan nampaknya kami tiada masalah untuk bekerjasama,” katanya.

Menurut Simon lagi, apabila Double Vision Pictures berminat sebagai penerbit maka dia mula membuat perancangan teliti.

Mengulas mengenai cabaran dihadapi untuk menghasilkan Rentap yang penggambarannya dibuat tahun lalu, Simon berkata, masalah utama adalah mendapatkan lokasi sesuai yang agak sukar.

“Saya menggunakan khidmat pengarah aksi lasak dari Indonesia, Volland Zulfikar Humonggio yang cukup berpengalaman untuk merealisasikan filem ini. Dia seorang yang begitu teliti.

“Jadi, bagi memastikan babak terbaik dapat dirakam untuk penonton tahu mengenai sukan ‘parkour’ itu, Volland amat menitikberatkan lokasi.

“Bagi memenuhi kehendak Volland, kami terpaksa bertukar lokasi sebanyak tiga kali. Akhirnya lokasi sesuai ditemui sekitar KLCC,” katanya.

Menyentuh soal jalan cerita pula, Simon berkata Rentap memfokuskan bagaimana ahli sukan yang memperjuangkan ‘parkour’ harus mempercayai kebolehan mereka dalam usaha menyelamat­kan orang tersayang.

Kata Simon, Rentap bukan saja dipadatkan dengan elemen aksi, tetapi ia mempertaruhkan persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang emosi, percintaaan dan ­sema­ngat berpasukan.

Mengharapkan penonton tempatan dapat menerima filem itu di pawagam nanti, Simon berkata dia sangat gembira kerana tarikh tayangan pawagam diperoleh ketika cuti persekolahan.

Jelasnya, dia juga teruja dapat menggandingkan Zahiril, Syafie dan Elfira buat kali pertama di layar perak sebagai teraju utama yang disifatkan berbakat dan faham apa di­inginkannya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");