Isu Panas

Pemuda Umno bantu mangsa banjir

BANDAR BAHARU – Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kampung Sungai Hilir, Kampung Tebuk Md Rashid dan Kampung Parit Nibong, kelmarin, Pemuda Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu turun padang memberikan bantuan.

Ketua Pemuda Umno, Bahagian Kulim Bandar Baharu, Mohd Mustaffa Kamal Shaikh Ismail berkata, banjir baru-baru ini melibatkan 50 rumah dengan membabitkan lebih 200 penduduk.

Katanya, masalah banjir sering berlaku di sekitar perkampungan berhampiran Sungai Kerian yang berpunca dari hujan lebat berpanjangan selain paras air sungai naik mendadak.

“Hari ini, Pemuda Umno turun padang bergotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir.

“Aktiviti ini bertujuan mengurangkan bebanan dialami mangsa selain mengeratkan hubungan antara penduduk dan semua ahli Pemuda Umno di Kulim Bandar Baharu,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah banjir, beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir selain meminta pandangan agensi kerajaan terlibat cara terbaik menangani masalah banjir di kawasan terlibat.

Mohd Mustaffa Kamal berkata, sehingga kini tambatan banjir serta tebing tanah sudah dibina di sekitar kawasan dilaporkan sering terlibat dengan banjir.

Bagaimanapun katanya, arus deras sungai merupakan punca utama tebing runtuh dan ini mengakibatkan rumah penduduk kampung ditenggelami air.

Katanya, usaha untuk menyelesaikan masalah banjir masih diteruskan dan beliau menasihatkan semua penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kerian supaya menyimpan dokumen penting serta barangan berharga di tempat lebih selamat.

Kata beliau, penduduk harus mematuhi arahan dikeluarkan pihak terlibat apabila diminta untuk berpindah.

Menurutnya sehingga kini bantuan makanan serta tempat tidur telah disediakan bagi memastikan semua mangsa terlibat berada dalam keadaan selesa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");