Perak Hari Ini

Pengasas Pusat Pengajian Umumi Al-Hidayah Dipilih Tokoh Maal Hijrah Perak

Pengasas Pusat Pengajian Umumi Al-Hidayah di Tanah Kebun dekat Parit Buntar, Yunus Alias, 62, diumumkan sebagai Tokoh Maal 1436 Hijrah peringkat negeri Perak, hari ini.

Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM5,000, pingat dan sijil penghargaan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaffar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama isteri, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan barisan exco kerajaan negeri.

Yunus berkata, anugerah tersebut merupakan satu penghargaan kepada dirinya.

“Syukur Alhamdulillah kerana dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah bagi tahun ini dan terima kasih kepada ahli panel kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk merangkul gelaran ini,” katanya.

Selain itu, beliau yang berasal dari Kampung Mandah, Manong dekat Kuala Kangsar menyatakan bahawa beliau menubuhkan pusat pengajian tersebut kira-kira setahun yang lalu.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi semangat untuk saya menubuhkan Pusat Pengajian Umumi Al-Hidayah.

“Saya sendiri bertindak sebagai pengajar dan dibantu oleh lima hingga 10 orang guru lain untuk mengajar golongan muda dan dewasa.

“Saya harap dapat perbesarkan lagi pusat pengajian ini dan usaha dakwah ini akan diteruskan sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.

Sementara itu, bapa kepada lima orang anak dan pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) itu turut berkata, pengertian hijrah amat besar buat dirinya.

“Hijrah tidak semestinya harus berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain tetapi yang paling penting pertumbuhan fitrah cara kita berfikir.

“Hijrah juga adalah bagaimana caranya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat samada dewasa ataupun kanak-kanak,” tambahnya.

Lebih 1,000 tetamu hadir dalam majlis tersebut yang terdiri daripada kakitangan perkhidmatan awam, badan-badan berkanun dan swasta, para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan dan orang awam.

Sultan Perak juga berkenan untuk menyampaikan beberapa lagi anugerah antaranya Anugerah Masjid terbaik, Anugerah Tanah Perkuburan Islam Terbaik, Anugerah Agama Rakyat Terbaik dan Anugerah Khas Darul Ridzuan 1436H.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");