Berita Hari Ini

Pengawal Terlatih Pertimbangan Baharui Lesen Syarikat Keselamatan

KUALA LUMPUR: Walaupun industri kawalan keselamatan terus dipantau, namun langkah-langkah tambahan diambil bagi mempertingkatkan kualiti pengawal di negara ini dan menjadikan syarikat yang mengambil mereka sebagai pekerja, lebih bertanggungjawab.

Langkah-langkah itu melibatkan latihan pengawal dan kursus pengurusan untuk semua anggota lembaga syarikat keselamatan.

Mulai tahun depan, syarikat keselamatan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus pengawal rakyat Malaysia yang dilatih dan diiktiraf oleh polis sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan untuk memperbaharui lesen syarikat mereka.

Sumber-sumber dalam industri berkata, pihak berkuasa mungkin akan meletakkan keperluan itu kepada 20 peratus menjelang 2016.

Pada masa ini, KDN mahu kira-kira sehingga 11,500 pengawal tempatan dilatih di bawah program yang dijalankan polis iaitu Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) menjelang akhir tahun.

KDN akan membuat pemeriksaan terhadap pengawal terbabit sebelum mereka menjalani kursus selama enam hari di akademi polis di mana mereka akan mempelajari bagaimana untuk mengendalikan senjata api, bantuan kecemasan dan memadam kebakaran dan diberikan maklumat mengenai undang-undang berkaitan.

Sebanyak tujuh siri latihan telah disempurnakan pada minggu lepas dengan 1,586 pengawal tempatan termasuk 136 wanita di seluruh negara menamatkan program berkenaan. Setakat ini, seramai 4,200 orang telah dilatih.

“Program ini seiring dengan arahan pada tahun depan supaya semua syarikat keselamatan perlu memastikan sekurang-kurangnya 10 peratus pengawal mereka di kalangan rakyat tempatan dilatih sebelum kita mempertimbangkan untuk memperbaharui lesen mereka,” kata Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mohammad Khalid Shariff.

KDN turut mewajibkan semua ahli lembaga bagi syarikat keselamatan untuk menghadiri kursus pengurusan tahunan bagi mereka dapat memperbaharui lesen.

“Dengan inisiatif-inisiatif ini, kementerian berharap dapat memeriksa penggunaan pengawal keselamatan di kalangan mereka yang tidak dilatih dan pendatang asing tanpa izin (Pati) serta menangani sebarang aktiviti yang melanggar Akta Agensi Persendirian 1971,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");