Jenayah

‘Pergilah beraya bersama nenek’

Hulu Selangor: “Biarlah saya tak sambut Deepavali tahun ini, yang penting anak saya dapat menyambutnya dengan gembira dan selesa,”.

Begitulah pengorbanan A Annammah, 39, salah seorang penduduk di Blok K Pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung yang terjejas akibat tanah runtuh di kawasan rumahnya pada pagi Isnin lalu.

Dia yang tidak mahu dua anaknya itu menyambut Deepavali dalam serba tidak selesa di pusat pemindahan bencana sudah menghantar mereka ke rumah ibunya di Bestari Jaya.

“Anak saya menangis kerana persiapan mereka sambut Deepavali hampir terjejas disebabkan kejadian itu. Tidak mahu menghampakan mereka, saya hantar anak saya ke rumah ibu saya manakala saya dan suami akan kekal di sini bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai kejadian tanah runtuh ini,” katanya.

Dia ditemui Pusat Pemindahan Bencana di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (2), Bukit Beruntung, di sini semalam.

Katanya lagi, segala persiapan dan kelengkapan untuk menyambut Deepavali sudah disediakan tetapi bencana yang melanda menyebabkan semangat untuk merayakannya semakin pudar.

Nada sama juga turut dilontarkan oleh S Rajeswary, 55, yang hilang semangat untuk merayakan Deepavali pada tahun ini disebabkan kejadian itu.

“Sudah tentu saya sangat sedih. Mana tidaknya, segala persiapan sudah disiapkan tetapi hal lain pula terjadi,” katanya.

Dia yang sudah menetap di Blok L, semenjak 15 tahun lalu bersama empat orang anaknya terpaksa tinggal di pusat pemindahan bencana itu sebagai langkah keselamatan.

Seorang lagi penduduk, M Senthamani, 67, berkata, kejadian itu mula disedari sejak sebulan lalu dan aduan sudah dibuat kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil.

“Walaupun saya sedih tidak dapat merayakan Deepavali di kediaman sendiri tahun ini, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya dan penduduk lain selamat,” katanya.

Terdapat 11 keluarga berketurunan India daripada 539 jumlah mangsa ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Bencana di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");