Perak Hari Ini

Pihak Berwajib Diminta Telus Siasat Laporan Kegiatan Mafia Berleluasa Di Kuala Sepetang

Semua pihak berwajib termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan perlu membuat siasatan rapi terhadap dakwaan wujud kegiatan mafia di Kuala Sepetang serta pencerobohan tanah secara haram, pemusnahan pokok bakau dan penternakan kerang yang tidak mematuhi peraturan di kawasan berkenaan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana, baru-baru ini.

Menerusi email yang dihantar kepada Peraktoday.com, seorang pembaca yang menggelarkan dirinya sebagai Mohamad Nasionalis Melayu berkata, pihak polis perlu turun padang ke kawasan itu untuk mencari jawapan terhadap dakwaan tersebut.

“Pihak PDRM Perak perlu turun padang ke kawasan berkenaan untuk kepastian sebenar. Bukannya apa, sekarang ini ada orang yang begitu mudah dibeli, diberi amanah mengkhianat amanah, jangan hanya nafi saja, buktikan bahawa laporan akhbar itu tidak benar.

“Secara jujurnya, saya amat meragui kenyataan Pemangku Ketua Polis Perak berhubung perkara ini kerana beliau tidak faham bahawa laporan akhbar berkenaan tidak menyebut ada pihak mafia mengasari pelancong tetapi sebaliknya jenayah terancang secara diam-diam…itu yang perlu difahami oleh Pemangku Ketua Polis Perak.

“Laporan akhbar arus perdana adalah laporan yang berintegriti dan saya yakin ada sesuatu cuba disembunyikan oleh pihak tertentu. Sanggup bersekongkol dengan penjenayah adalah suatu perbuatan jijik yang sangat memalukan, apabila diberi amanah mengkhianati amanah, kalau nak bersekongkol dengan penjenayah, lebih baik jangan jadi polis, jangan jadi penguatkuasa, lebih baik jadi penyamun, perogol atau pembunuh, itu selayaknya bagi orang sebegini,” tegasnya.

Mohamad berkata lagi, rakyat mulai jelik dan muak dengan sikap anggota pihak berkuasa yang mengambil rasuah dan bersekongkol hingga menjadi barua kepada para penjenayah sedangkan tindakan pantas diambil terhadap orang miskin.

“Misalnya jika ada orang kampung teroka tanah bukannya luas pun sekadar satu ekar atau luas sangat pun tiga ekar tetapi dengan segera dan cepat diambil tindakan. Tetapi kalau penjenayah besar ceroboh tanah sampai 1,000 ekar pun buat tak tahu sahaja oleh pihak berkuasa. Malahan ada orang-orang besar pun sama, ceroboh tanah bukannya sikit-sikit, lebih dari 100 ekar pun buat tak peduli oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, polis Perak menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu kononnya Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga, dekat Taiping dikawal mafia selain kegiatan perjudian dan jenayah yang berleluasa di situ.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk A Paramasivam, berkata dua laporan khas disiarkan akhbar itu termasuk dakwaan kedengaran bunyi tembakan serta mempersoalkan integriti pihak berkuasa khususnya polis, tidak pernah dirujuk untuk kesahihannya.

“Risikan dan siasatan polis mendapati tiada sebarang laporan berhubung kes melepaskan tembakan atau bunyi tembakan.

“Malah polis tidak menerima laporan daripada orang awam atau pelancong bahawa mereka diugut, diancam atau dipukul oleh kumpulan samseng atau kongsi gelap,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");