Perak Hari Ini

Polis Perak Nafi Kegiatan Mafia Bermaharajalela Di Kuala Sepetang

Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Datuk A Paramasivam menafikan kegiatan mafia bermaharajalela di kawasan Kuala Sepetang, dekat Taiping.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana polis tidak menerima sebarang aduan daripada pelancong dan orang awam.

“Kita tidak menafikan jenayah berlaku di situ namun saya menafikan istilah ‘mafia bermaharajalela’ di kawasan Kuala Sepetang dan dua kawasan lain iaitu Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga kerana istilah yang digunakan itu adalah tidak benar,” tegasnya.

Beliau mengulas laporan salah satu akhbar tempatan bertajuk “Mafia Kuala Sepetang bermaharajalela Didakwa ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa” yang dilaporkan baru-baru ini.

“Laporan itu mendakwa bahawa tiga rangkaian kawasan itu iaitu perairan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga dipercayai menjadi lokasi aktiviti jenayah daripada penceroboh tanah kerajaan, penyeludupan, pengedaran dadah, perjudian haram hingga kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara beramai-ramai,” katanya.

Jelasnya lagi, laporan berkenaan juga turut menyentuh integriti pasukan polis dalam membanteras perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, pekan Kuala Sepetang dan Kuala Sangga kini bawah pengelolaan Ketua Polis Balai Kuala Sepetang yang diletakkan bawah pentadbiran ibu Pejabat Polis Taiping.

“Manakala Bahagian Panchor pula di bawah pentadbiran Balai Polis Taiping dan sebahagian kawasan lagi di bawah kelolaan Balai Polis Pantai Remis serta pentadbiran Balai Polis Manjung.

“Kuala Sepetang terkenal dengan aktiviti eko-pelancongan dan pekerjaan utama penduduk di sana adalah nelayan.

“Setakat ini, belum ada terima aduan atau laporan diterima daripada pelancong mengenai sebarang ugutan kongsi gelap atau kes ragut,” tegasnya.

Jelasnya lagi, penggunaan perkataan ‘mafia’ yang digunakan terlalu serius.

“Tidak wujud kegiatan mafia di kawasan berkenaan dan jika benar pasti pelancong enggan lagi pergi ke sana.

“Kita tidak boleh berjanji tiada jenayah langsung berlaku tetapi pihak polis akan cuba membendungnya dan bunyi tembakan yang dikhabarkan sebelum ini juga tidak dapat disahihkan kebenarannya.

“Statistik untuk jenayah kekerasan dari 2012 sehingga 2014 adalah tidak membimbangkan dan tiada sebarang kes yang serius berlaku.

“Setakat ini, ada 18 kes dicatatkan untuk judi haram, perjudian (7) dan kes pelbagai kesalahan dan tangkapan dan penyeludupan melibatkan 26 kes,” katanya.

Sementara itu, jelasnya lagi, hanya terdapat satu kes bunuh yang berlaku di situ iaitu pada 14 Disember 2013 yang melibatkan lelaki Cina berumur dalam 50-an dijumpai terapung di pinggiran laut kawasan berkenaan.

“Ia membawa kepada penangkapan lima lelaki namun keterangan tidak mencukupi untuk membawa pertuduhan membunuh dalam kes tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, tidak dinafikan pada tahun 1970 kawasan berkenaan dikawal oleh ‘raja laut’ yang berkuasa ketika itu dan bukan lagi seperti sekarang.

Susulan laporan akhbar tempatan itu juga, Ketua Kampung Kuala Sepetang turut membuat satu laporan polis semalam.

Ini kerana laporan akhbar tersebut dikhuatiri akan menimbulkan spekulasi negatif dan menyebabkan aktiviti perniagaan dan pelancongan di kawasan berkenaan terjejas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");