Perak Hari Ini

Program Merakyatkan Kesenian, Kebudayaan Perlu Diperkasakan Lagi

Program Merakyatkan Kesenian dan Kebudayaan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara cawangan Perak mampu menghidupkan kembali warisan kesenian lama yang semakin luput ditelan dek peredaran zaman.

Menurut Pengerusi Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan, program sebegitu perlu diperkasakan agar warisan kesenian tersebut tidak hilang ditelan arus pembangunan.

“Program ini memberi impak yang sangat besar kerana kita tahu dewasa ini kesenian merupakan satu perkara yang penting.

“Ini kerana semakin hari ia semakin ditinggalkan kerana kita sibuk mengejar arus pembangunan.

“Maka dalam alaf 21 dan seterusnya, warisan ini harus diperkasakan, diteguhkan hingga menjadi rutin kepada masyarakat khususnya di negeri Perak ini,” katanya.PERAK TODAY 1

Beliau berkata, kesenian itu mempunyai satu nilai yang tidak terkira kerana boleh membawa banyak kesan positif kepada masyarakat dan usaha untuk mempertahankannya perlu dilakukan.

“Kesenian itu adalah satu nilai yang tidak boleh dijual beli dan penuh dengan kepentingan kerana ia membawa satu tautan dan kerjasama yang akhirnya warisan yang kita perolehi daripada nenek moyang dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang cukup baik pada hari ini.

“Ini jelas atas inisiatif daripada pihak kerajaan dan kementerian mampu mempertahankan daripada terus ditinggalkan,” katanya kepada Peraktoday.com.my selepas merasmikan Program Merakyatkan Kesenian dan Kebudayaan di Arena Square Kampung Tanjung Keramat dekat Tapah, malam tadi.

Katanya, pihaknya memandang serius berkaitan isu kesenian kerana ia merupakan salah satu daripada empat fokus utama yang telah digariskan dalam portfolio yang diamanahkan kepadanya oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Selaras dengan portfolio yang saya jaga iaitu Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, saya melihat bahawa majlis kebudayaan ini penting dalam membentuk satu masyarakat yang bersatu melalui bidang kesenian.

“Salah satu daripada empat perkara penting yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya adalah kebudayaan dan ia akan terus menjadi fokus utama bagi saya.

“Alhamdulillah kerana program ini telah diperluaskan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari ini, Jabatan Kebudayaan tersebut telah memilih DUN Ayer Kuning sebagai tempat untuk lokasi penganjuran,” tambahnya.

Beliau juga mensasarkan penyertaan golongan yang berbeza daripada segi umur, jantina dan latar belakang bagi melahirkan satu generasi yang mampu memperkasakan kesenian yang diwarisi sejak turun temurun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Perak, Hisham Mat Husien berkata, program itu akan diperluaskan dan dijadikan program projek besar di masa akan datang.

“Kita telah mempunyai perancangan untuk mengadakan program sebegini dalam skala yang besar iaitu dengan menggabungkan beberapa buah DUN kerana pada dasarnya, program seperti ini diperkenalkan di peringkat kebangsaan.

“Buat masa ini, kami hanya menunggu reaksi dan penerimaan daripada masyarakat sebelum meneruskan perancangan yang telah dibincangkan,” katanya.

Lebih daripada 300 masyarakat setempat telah menghadiri malam kemuncak bagi Program Merakyatkan Kesenian dan Kebudayaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Perak dengan kerjasama beberapa pihak di Kampung Tanjung Keramat dekat Tapah.

Program tersebut telah berlangsung dari jam 9 pagi hingga 11 malam dengan pengisian pelbagai acara antaranya bergotong royong, permainan rakyat dan persembahan kebudayaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");