Berita Hari Ini

Rakyat Tak Layak Subsidi Petrol Belum Muktamad – KPDNKK

PETALING JAYA: Kerajaan belum memutuskan mekanisme terbaik untuk menetapkan kategori rakyat daripada segi pendapatan yang terlibat dalam program rasionalisasi subsidi petrol bermula Jun tahun depan.

Sebelum ini dilaporkan, golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah pasti akan mendapat subsidi RON95, manakala nasib rakyat berpendapatan antara RM4,001 hingga RM12,000 belum diketahui.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, mekanisme khusus untuk kumpulan sasaran itu akan diputuskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersama Kementerian Kewangan.

“Itu hanya andaian (pendapatan lebih RM4,000 tidak dapat subsidi). Kita dapat macam-macam andaian tetapi kita belum muktamadkan lagi. Anda boleh kata RM4,000, RM6,000, RM8,000 atau apa sahaja kerana daripada segi pendapatan, apakah maksimum dan minimum pendapatan individu (layak) belum dimuktamadkan.

“Apa yang pasti pemberian subsidi itu untuk rakyat Malaysia sahaja, dan bukan untuk warga asing,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebimbangan golongan berpendapatan sederhana di negara ini yang mungkin tidak layak mendapat subsidi sebaik sahaja program rasionalisasi bagi petrol dimulakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada Khamis memberitahu bahawa harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun.

Ketidakpastian itu menimbulkan cakap-cakap bahawa pendapatan dalam lingkungan RM4,001 mungkin turut berada dalam kelompok ‘pendapatan tinggi’ sekiranya ia bukan diputuskan sebagai golongan sasaran yang menerima subsidi.

Alias berkata, daripada segi pendapatan, pihak KPDNKK sudah mengemukakan beberapa cadangan untuk diteliti.

“Kajian itu melibatkan rakyat pelbagai peringkat pendapatan dan latarbelakang di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak meliputi sosial ekonomi, kos sara hidup dan Indeks Harga Pengguna (CPI),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 77 buah syarikat mendaftar untuk menawarkan kertas cadangan bagi membangunkan sistem pengurusan rasionalisasi subsidi petrol selepas tempoh Permohonan Cadangan (RFP) berakhir pada 15 Oktober lalu.

“Syarikat-syarikat itu kini mempunyai masa selama 21 hari daripada tarikh itu untuk mengemukakan cadangan kepada kita. Selepas itu jawatankuasa teknikal akan meneliti cadangan-cadangan berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai pembelian petrol itu nanti akan menggunakan MyKad, Alias berkata, ia masih dalam peringkat cadangan dan belum diputuskan.

“Kita sedang menunggu cadangan-cadangan mereka (syarikat). Ia mungkin guna MyKad, lesen memandu atau mungkin juga guna sistem biometrik, apa sahaja yang mereka boleh cadangkan. Kita akan teliti dan muktamadkannya nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");