Jenayah

Rasuah: Ukur baju di badan sendiri

SHAH ALAM – Pegawai dan anggota polis perlu tahu mengukur baju di badan sendiri bagi mengelakkan terjebak gejala rasuah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, jika polis menerima gaji banyak mana sekalipun namun gagal mengurus kewangannya dengan baik, jumlah itu juga tidak akan mencukupi.

“Kalau nak kata tak cukup makan, gaji polis sudah naik. Kerajaan telah naikkan gaji polis semasa saya jadi ketua polis.

“Perumahan pun kerajaan tambah baik. Jadi, kalau nak kata pendapatan mereka tidak cukup, saya rasa sampai bila pun kita akan bertanya.

“Sebab nafsu manusia ini semakin banyak, semakin tak cukup. Jadi, sampai bila nak cukup? Gaji RM10,000 pun tak cukup kalau boros. Jadi kena tahu jaga cara perbelanjaan anda dan kita perlu bersyukur,” katanya kepada Sinar Online dalam satu tembual eksklusif, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal gejala rasuah dalam kalangan polis yang mungkin dikaitkan berpunca daripada tarikan habuan wang ringgit.

Dalam pada itu, beliau berkata, perancangan yang dibuat misalnya dalam membeli kereta perlulah sesuai dengan pendapatan yang diterima.

“Janganlah gaji baru RM2,000 atau RM3,000 dah nak pakai kereta besar. Baru bekerja terus nak beli kereta mewah.

“Anda kena tahu ukur baju di badan sendiri. Kalau tahu itu, baru kita dapat mengurangkan keadaan penyelewengan dalam pasukan polis,” katanya.

Selain itu, menyentuh soal cara kawalan rasuah, beliau menyarankan agar orang awam diberi pendedahan supaya mereka tidak mengambil jalan singkat dengan membuka ruang kepada rasuah untuk melepaskan diri.

“Orang ramai perlu diberi pendedahan tentang rasuah dahulu supaya masyarakat awam tidak mengambil jalan singkat untuk melepaskan diri dengan cara memberi rasuah.

“Jika dia melakukan kesalahan, kena terima hukuman atau apa saja yang dia telah buat. Jangan ada cara singkat untuk melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, pegawai dan anggota polis juga perlu dididik bahawa gejala rasuah itu merosakkan keamanan dan keselamatan negara.

“Rasuah merosakkan keamanan dan keselamatan negara kerana anda (polis) membiarkan orang membuat jenayah. Kalau ini dapat diterapkan dalam jiwa mereka, saya merasakan kita boleh.

“Ia bergantung kepada individu itu sendiri tapi kalau kita tegas dalam perancangan dan sistem, indvidu ini juga akan takut untuk menyeleweng,” katanya.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");