Jenayah

Serangan awal pagi

Jitra: “Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa, mungkin kejadian ini disebabkan perbuatan khianat kerana saya menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan di Bahagian Import Eksport Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Kayu Hitam,” kata Roslan Othman.

Roslan, 56, yang juga pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengesyaki kejadian itu mungkin disebabkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tugasnya mengawal pintu sempadan Malaysia-Thailand, sejak 2010.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi semalam, kereta Perodua Kelisa miliknya rentung dipercayai dibaling dengan botol mengandungi ‘molotov koktel’ yang diletakkan di pekarangan rumahnya di Taman Bukit Indah, di sini, terbakar.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari jirannya yang menghubungi mangsa ketika tidur selepas menyedari api sedang marak.

Menurut Roslan, dia cuba keluar melalui pintu hadapan tetapi gagal kerana bahang panas yang kuat menyebabkan dia berlari keluar dari pintu belakang dan cuba memadamkan api menggunakan penyembur air.

“Saya menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan kerana ketika itu api marak menyebabkan siling di halaman rumah turut terkena bahang.

“Dengan bantuan jiran, saya cuba menyelamatkan kereta Proton Wira dengan mengundur keluar dari kawasan halaman rumah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri dan empat anak terselamat dalam kejadian ini. Jika kami lambat bertindak, sudah tentu rumah ini turut hangus kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya, semalam.

Roslan berkata, kereta Perodua Kelisa itu digunakan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja dan berkemungkinan besar individu terbabit memerhatikan pergerakannya sebelum kejadian itu berlaku.

“Saya tak mengesyaki sesiapa, tetapi mungkin ia berkaitan soal kerja. Saya serahkan segalanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Akibat kejadian ini, lantai di halaman rumah dan siling rumah rosak,” katanya.

Anak ketiga mangsa, Mohd Hazazi Roslan, 23, berkata, ketika kejadian itu, dia belum tidur dan berada dalam biliknya sebelum terdengar bunyi seperti benda pecah, tetapi tidak perasan apa yang berlaku.

Katanya, ketika itu bapanya menerima panggilan daripada jiran dan terkejut apabila dimaklumkan kereta di hadapan rumah terbakar.

“Saya terus bangun dan cuba membantu ayah memadam api dari merebak ke bahagian lain sementara menunggu pihak bomba sampai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");