Jenayah

SPRM Sasar Pembalak Haram Rasuah Penguat Kuasa

PETALING JAYA: Lebih ramai pembalak haram yang beroperasi dengan merasuah anggota penguat kuasa dijangka ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Tindakan itu hasil operasi khas yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyasarkan pembalak haram selepas pergerakan mereka di beberapa negeri dipantau rapi sejak awal tahun ini.

Hasil siasatan juga mendapati, antara punca utama yang dikenalpasti menjadi dalang dalam melindungi aktiviti pembalakan haram ini ialah cubaan merasuah pegawai penguatkuasaan secara berterusan oleh syarikat pembalakan untuk mengaut keuntungan lebih.

Antara negeri terjejas akibat pembalakan haram adalah Sarawak dan negeri terbabit dianggarkan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta setiap tahun akibat ketirisan yang berlaku membabitkan aktiviti itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya giat menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti rasuah melibatkan pembalakan haram di beberapa negeri.

“SPRM serius dalam memerangi jenayah rasuah melibatkan alam sekitar khususnya apabila akibat rasuah ini alam sekitar musnah dan hasil tahunan kerajaan negeri dari segi percukaian terjejas teruk,” katanya.

Beliau menegaskan, SPRM akan terus bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam usaha memerangi masalah rasuah hingga aktiviti pembalakan haram ini dibendung.

Berdasarkan maklumat yang dilapor kepada SPRM berkaitan isu alam sekitar sepanjang 2009 hingga 2013, sebanyak 25 peratus daripadanya berkaitan isu pembalakan, termasuk rasuah dalam aktiviti pembalakan haram.

Setakat ini, beberapa siri operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu yang terbabit dalam aktiviti merasuah pegawai penguatkuasaan tempatan.

Terdahulu di Kuching pada Rabu, seorang pengarah urusan syarikat perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah atas dakwaan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis yang menahannya kerana melakukan pembalakan haram.

Ling Sing Ching, 50, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas dia mengaku tidak bersalah cuba menawarkan rasuah RM2,000 kepada Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");