Isu Panas

Tiga Adun Pas Selangor layak dapat portfolio kanan

SHAH ALAM – Ketiga-tiga Adun Pas Selangor yang dilantik menerajui barisan Exco layak diberi portfolio kanan kerana mempunyai kelebihan, selain meredakan krisis pengurangan kuota exco parti itu.

Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu segera membetulkan kecacatan yang berlaku dalam memberi kuasa selayaknya kepada Pas.

Jika Pas masih diketepikan, katanya, sudah tiba masanya parti itu bangkit membawa usul kepada peringkat Pusat supaya keluar daripada PR.

“Sudah dua kecacatan yang dilakukan Mohamed Azmin di mana pertama, beliau mengurangkan kuota Exco Pas daripada empat menjadi tiga. Keduanya apabila beliau menawarkan jawatan timbalan speaker yang dilihat peranannya tidak kuat untuk membawa perjuangan.

“Dan jika berlakunya kecacatan ketiga pula di mana Pas tidak diberikan portfolio peringkat kedua, saya rasa sudah sampai ke kemuncaknya apabila Pas Selangor perlu memikirkan membawa usul keluar PR.

“Saya yakin apabila Pas tidak dapat portfolio kanan, exco, ahli Pas malah penyokong pun tidak reda perkara itu berlaku kerana ia menampakkan kelemahan Pas satu persatu. Pas perlu bangkit mempertahankan maruah,” katanya.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga berkata, kemungkinan Pas keluar daripada PR bukan lagi perkara yang mengejutkan kerana ia telah dibayangi golongan pemuda dan ulama parti itu sebelum ini ketika krisis Menteri Besar Selangor sedang memuncak.

Dalam isu portfolio exco baharu katanya, Pas paling layak memegang exco agama dan infrastruktur bagi mengelakkan Selangor menjadi bandar ‘johan’ menyumbang kepada penyakit sosial yang selalunya berlaku di kawasan pembangunan pesat.

Hasan berkata, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib dirasakan layak memegang portfolio itu kerana beliau aktif dalam gerakan memperjuangkan Islam.

“Dalam pelaksanaan kerajaan negeri yang paling penting adalah portfolio tanah, kemudian kerajaan tempatan, perhutanan dan keempat adalah agama. Biasanya menteri besar memegang portfolio pengurusan tanah.

“Portfolio kedua penting saya sarankan diberikan kepada Pas kerana ia boleh mengawal pembangunan yang boleh mengundang kepada meningkatnya gejala sosial. Ia menjadi bertambah hebat apabila bergandingan dengan exco agama yang juga paling sesuai diberikan kepada Pas,” katanya yang pernah memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Beliau berkata, menteri besar seharusnya membawa perubahan dengan memberi kepercayaan ke atas peranan eksekutif exco.

“Jika sebelum ini, exco pertanian misalnya tidak dapat menggunakan kuasa dan kepakaran apabila keputusan dibuat eksekutif dilantik.

“Sebelum ini, banyak kuasa eksekutif dipegang menteri besar mungkin kerana mahukan masalah negeri diselesaikan cepat berdasarkan kepakarannya dan kini masanya barisan exco diberi kepercayaan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");