Perak Hari Ini

Warga Emas Terlantar Lemah Akibat Keracunan Makanan

Seorang warga emas terlantar lemah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sejak 10 hari yang lalu selepas menikmati makanan yang dipercayai dijual oleh sebuah restoran di Taman Ipoh Jaya, Timur 1 pada tanggal 19 Oktober lalu.

Selepas diperiksa doktor, mangsa yang dikenali sebagai Khaushad Bibi Meer Ahmad, 60, disahkan mengalami keracunan makanan.

Menurut anak mangsa, Arshad Ahmad Muhamad Arsherof, 41, dari Taman Desa Rapat, pada hari kejadian, bapanya telah membeli nasi bersama kari ikan, sayur kobis dan ikan goreng di restoran terbabit untuk juadah makan tengah hari ibunya.

Selepas menikmati makanan itu, beliau berkata, ibunya mengalami sakit perut dan cirit-birit sebelum dibawa ke HRPB untuk rawatan.

“Ibu saya kemudiannya dimasukkan ke wad 8B selepas disahkan mengalami keracunan makanan,” katanya kepada PerakToday.com.my.

Arshad Ahmad berkata, pada 23 Oktober lalu, beliau mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengenai kejadian yang menimpa ibunya dan meminta pihak terbabit menyiasat tahap kebersihan restoran tersebut demi keselamatan pelanggan yang lain.

“Saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kg Rapat mengenai kejadian itu pada malam 27 Oktober lalu.

“Sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap ibu, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha restoran tersebut,” katanya.

Mengulas status terkini si ibu, Arshad Ahmad berkata ujian ultra sound mendapati masih ada bakteria dalam badan dan darah ibunya.

“Keadaan ibu masih lemah dan bergantung kepada rawatan ubat yang disediakan pihak hospital,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");