Membawang Hari Ini

Akim ungguli Anugerah Komposer Muda Berpotensi MACP

KUALA LUMPUR: Undian peminat membolehkan penyanyi dan komposer Akim mengungguli Anugerah Komposer Muda Berpotensi pada malam ulang tahun Jubli Perak Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) di sini, malam tadi.

Peminat juga memilih Yuna untuk menerima Anugerah Persembahan Terbanyak bagi kategori lagu Inggeris ‘I Wanna Go’ manakala kategori lagu Melayu dimenangi gandingan Zizan dan Kaka menerusi lagu ‘Bawaku Pergi’.

Mereka adalah antara 11 penerima anugerah MACP, termasuk Anugerah Khas kepada Pelesen dan Ejen badan itu bagi menghargai penglibatan mereka.

Syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penerbit Tempatan dengan Pendapatan Terbanyak manakala Syarikat EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd menerima Anugerah Penerbit dengan Pendapatan Terbanyak.

Karyawan terkemuka negara, Habsah Hassan memenangi Penulis Lirik dengan Pendapatan Terbanyak sementara anggota KRU iaitu Edry Abd Halim mengungguli anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak.

Anugerah lain ialah lagu Cina Persembahan Terbanyak yang dimenangi oleh Fuying dan Sam dengan lagu ‘Fen Kai Yi Hou’, Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi diungguli Michael Wong dengan lagu ‘Tong Hua’.

Anugerah Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak diberikan kepada lagu ‘I Got A Boy’ nyanyian kumpulan Girl’s Generation dari Korea Selatan dan komposer terkemuka, Saari Amri pula dipilih memenangi Anugerah Nadi Cipta.

Anugerah MACP merupakan penghargaan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri seni negara.

Hasil royalti yang dikutip oleh MACP adalah daripada persembahan muzik di stesen televisyen dan radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan. Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata sambutan ulang tahun Jubli Perak MACP membuktikan industri muzik Malaysia berpotensi untuk berkembang.

Sambil meminta anggota-anggota MACP supaya terus menghasilkan karya terbaik, beliau berharap mereka dapat membuktikan anak Malaysia dapat menghasilkan karya-karya bertaraf dunia yang mengharumkan negara.

“MACP juga akan berusaha memastikan anggota kami diberikan bayaran setimpal dengan usaha dan kreativiti mereka,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Pengerusi MACP, Ahmad Izham Omar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");