Jenayah

‘Aku takut…aku takut’

BUKIT KATIL – Tiga penghuni termasuk seorang nenek di sebuah rumah nyaris cedera selepas sebatang pokok berusia lebih 30 tahun menghempap rumah mereka di Jalan Md Amin, Kampung Telok, di sini, malam kelmarin.

Embab Abd Ghani, 90, yang mahu memulakan solat di dalam bilik turut menggigil ketakutan selepas rumah pusaka didiami bersama keluarga anaknya, Majunah Av Abd Hamid, 55, dihempap pokok durian dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam.

Menantunya, Shinin Mohd Sharif, 55, terus keluar dari bilik air sementara cucunya Muhammad Luqman Mohd Shinin, 14, sedang solat Maghrib terhenti, sebaik sahaja mendengar bunyi kuat menghempap rumah ketika ketiadaan Majunah yang keluar bekerja.

Bunyi pokok tumbang itu turut didengari anaknya, Katijah Av Abd Hamid, 51, tinggal bersebelahan yang kemudian berlari mendapatkan Embab di dalam bilik di bahagian tengah rumah tersebut.

Khatijah berkata, dia dapat mengagak rumah Majunah dihempap pokok berdasarkan bunyi meskipun tiada hujan dan angin kuat ketika itu terus berlari ke rumah tersebut berikutan bimbang keadaan ibunya yang memang uzur.

“Sebaik sahaja masuk ke bilik, mak hanya berkata berulang kali ‘aku menggigil, aku takut’. Saudara mara yang tinggal berhampiran turut datang ke rumah menenangkan mak yang ketakutan.

“Saya cuba menghubungi telefon bibit Majunah untuk memaklumkan namun tidak dijawab menyebabkan seorang lagi adik terpaksa pergi ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam,” katanya.

Sementara itu, Majunah berkata, dia terkejut apabila adiknya datang ke tempat kerja dan memaklumkan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu dihempap pokok yang turut merosakkan bumbung rumah, garaj dan kereta Perodua Myvi miliknya.

“Sebaik sahaja sampai di rumah, saya lihat pokok di bahagian belakang rumah tumbang menyebabkan kerosakan pada sebahagian siling di ruang tamu, bumbung garaj dan rumah selain cermin depan kereta pecah dan cermin sisinya patah.

“Saya masih tidak dapat menganggar kerugian dialami namun bersyukur mak, suami dan anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Majunah berkata, akibat kejadian itu, saudara-maranya membantu menghubungi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) yang kemudian datang menebang pokok tersebut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");