Sukan Hari Ini

Apek tagih kebangkitan rakan

Kuala Lumpur: Penjaga gol utama negara Khairul Fahmi Che Mat percaya Norshahrul Idlan Talaha dan pemain lain akan mempamerkan kebangkitan menjelang aksi sebenar Piala AFF pada Ahad ini.

Skuad negara berdepan situasi sukar akibat rentetan kekalahan dialami dalam aksi persahabatan dan pembakar semangat yang dicari ketika menentang Vietnam jelas tidak menjadi apabila tewas 1-3 kepada lawan yang berada dalam Kumpulan A Piala AFF.

Namun, seolah-olah sudah menemui rentak, Norshahrul yang terkenal dengan kemampuan menggelecek kembali menyinar pada perlawanan berkenaan dan hampir menjaringkan gol.

“Ramai penyerang kebangsaan tidak beraksi dalam kesebelasan utama. Namun saya percaya Norshahrul dan pemain lain akan bangkit. Sama seperti edisi 2010 apabila kita tidak diletakkan harapan tinggi (namun muncul juara). Kami akan pastikan penyokong kembali ke stadium memberi sokongan,” katanya yang bakal tampil pada edisi ketiga Piala AFF sejak 2010.

Tambahnya, sebarang kesilapan dan kelemahan yang berlaku dalam aksi persahabatan perlu diperbetulkan dalam sesi latihan walaupun dalam baki masa yang singkat.

“Kadang-kadang tekanan dihadapi akan membuatkan kami lebih bersemangat untuk bermain. Sebelum kejohanan pasti ada tekanan, itu perkara biasa,” kata penjaga gol Kelantan itu.

Khairul Fahmi dijangka terus menjadi sandaran ketua jurulatih negara Dollah Salleh untuk mengawal gawang negara dengan Mohd Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid sebagai pengganti.

Dia diturunkan dalam kesebelasan utama ketika skuad negara tewas kepada Vietnam Ahad lalu, namun mengakui semangatnya tetap membara bagi menggalas cabaran negara.

Skuad negara akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar disusuli Thailand dan tuan rumah, Singapura dengan sasaran melangkah ke final.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");