Perak Hari Ini

Banteras Judi Haram: Kerjasama PBT, Masyarakat Turut Diperlukan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota masyarakat digesa agar memainkan peranan masing-masing dalam usaha membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan judi haram di Perak.

Menurut Penasihat Undang-undang Community Policing cawangan Bercham, Liew Kar Tuan, berkata tanggungjawab membanteras kegiatan judi haram tidak seharusnya diletakkan pada bahu PDRM semata-mata.

“Usaha membanteras kegiatan ini tidak seharusnya dipikul oleh pihak polis sahaja sebaliknya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing.

“Selain itu, undang-undang berkaitan perjudian yang sedia ada perlu digubal semula bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, kegiatan judi haram yang gagal dibendung katanya, boleh mengundang pelbagai masalah sosial di negara ini.

Sebagai contoh, rumahtangga yang dibina diancam keruntuhan apabila si suami gemar menghabiskan wang dengan berjudi dan masalah itu tegasnya, juga berlaku di luar negara.

“Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita harus berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa di masa akan datang.

“Kami juga menyokong usaha tegas PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam membanteras kegiatan judi haram di negara ini,” tegasnya lagi.

Baru-baru ini, Khalid dilaporkan berkata pihaknya akan menggempur habis-habisan kegiatan perjudian haram di seluruh negara dalam usaha menghapuskan jenayah itu sehingga ke akar umbi.

Arahan itu telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk melancarkan ‘peperangan’ terhadap pengusaha mesin judi yang dianggap oleh satu sumber sebagai satu tindakan drastik oleh pasukan berkenaan.

Melalui arahan tersebut, Khalid memberi tempoh seminggu kepada semua Ketua Polis Negeri menyelesaikan isu mesin judi.

“Jika gagal berbuat demikian, pegawai terlibat akan ditukarkan dalam tempoh 24 jam,” kata satu sumber ketika mengulas arahan Khalid itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");