Jenayah

Ekzos RM1.84 juta

Sepang: Seorang suri rumah ditahan ketika menuntut satu bungkusan di syarikat penghantaran cepat di Petaling Jaya, Selangor, Khamis minggu lalu selepas didapati mengandungi dadah jenis Metamphetamine (syabu) seberat 9.694 kilogram (kg) bernilai RM1.841 juta.

Bungkusan mengandungi tujuh ekzos itu dikirim menerusi kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, dari Guan Dong, China.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya membuat pemantauan serta pemerhatian ke atas dua bungkusan yang tiba dari Guan Dong, China kerana disyaki mengandungi dadah.

“Dua bungkusan itu dikirim menerusi kargo udara KLIA dan diuruskan syarikat penghantaran cepat di Petaling Jaya, Selangor.

“Pada jam 8.30 pagi Khamis lalu, wanita berusia 34 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan itu pergi ke syarikat penghantaran cepat terbabit untuk menuntut satu daripada bungkusan dan dia ditahan pihak kami sebelum direman selama tujuh hari,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Chik Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh ekzos di dalam bungkusan itu dan selepas dipotong, pihaknya menemui 27 bungkusan plastik mengandungi serbuk putih yang disumbat dalam ekzos.

Katanya, selepas diuji ia positif dadah jenis Metamphetamine seberat 9.694 kg bernilai RM1.841 juta.

Menurutnya, pihaknya menemui suami wanita berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori dan siasatan mendapati lelaki itu tidak terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.

“Bagaimanapun satu lagi bungkusan yang dikirim pengirim sama belum dituntut menyebabkan kita terpaksa merampasnya pada Sabtu lalu selepas menunggu selama dua hari.

“Selepas diperiksa ia mengandungi sembilan ekzos kenderaan yang di dalamnya terdapat 36 bungkusan serbuk putih yang positif dadah jenis Metamphetamine seberat 12.4kg bernilai RM2.356 juta,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihaknya merampas satu bungkusan di kawasan perumahan Golden Villa, Selangor kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu.

Beliau juga berkata, bungkusan itu dihantar dari Nigeria untuk diserahkan kepada penerima oleh sebuah ejen penghantaran cepat di lokasi dijanjikan.

“Selepas tiba di lokasi dan masa yang dijanjikan, penerima gagal dihubungi, malah siasatan juga mendapati alamat tertera di bungkusan itu tidak wujud.

“Bungkusan itu, kemudian dirampas selepas kita menunggu hampir lima jam dan hasil pemeriksaan kami menemui satu unit kompresor peti sejuk serta dua unit penapis minyak yang mengandungi Metamphetamine seberat 2.116kg bernilai RM402,040,” katanya.

Chik Omar berkata, ketiga-tiga kes ini berjaya dipatahkan dalam tempoh lima hari dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah 24.21kg bernilai RM4.6 juta.

Malah, katanya taktik menyembunyikan dadah dalam ekzos, penapis minyak dan kompresor peti sejuk adalah pertama kali dikesan pihaknya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan rayuan dan tawaran daripada sindiket dadah atau orang yang tidak dikenali supaya mengambil barang di mana-mana lokasi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");