Membawang Hari Ini

Ellie nekad jadi ‘anak wayang’

Sepanjang tujuh tahun berkhidmat sebagai pramugari di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), tidak ada seorang pun rakan setugasnya yang tahu dia berbakat dalam bidang seni.

Justeru, keputusan Ellie Suriaty meninggalkan karier pramugari untuk terjun dalam bidang lakonan bukan saja mengejutkan rakan setugas sekali gus ahli keluarganya sendiri.

Namun, keputusan nekad Ellie meninggalkan kariernya di awan biru itu ternyata berbaloi kerana kini namanya sudah sebaris dengan barisan pelakon dan pengarah berkaliber di negara ini.

Selepas mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik, filem Spinning Gasing pada 2011, pemilik nama sebenar, Ellie Suriaty Omar, 43, tidak menoleh ke belakang lagi.

Menyusul selepas itu, dia mengungguli trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, FFM16, filem Soalnya Siapa (2002).

Terbaru, bakat pengarahan anak didik Allahyarham Datuk Syed Alwi ini turut diiktiraf menerusi trofi Pengarah Harapan, Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) menerusi filem genre seram Penanggal.

Anak pasangan Allahyarham Omar Abdul Hamid dan Noriah Mat Akhir, 75, ini dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor.

Ellie adalah anak keempat daripada lima beradik iaitu tiga lelaki dan dua perempuan, Fadzil Anuar, 52, Muhamad Khuzad, 50, Intan Rozlina, 46 dan Shamsul Shahril,38.

Bukan saja cemerlang dalam karier lakonan dan pengarahan, Elly juga sudah mengembangkan kariernya sebagai penulis skrip dan produser menerusi produksi yang diusahakan bersama suaminya, pelakon Azry Iskandar, 46, Timang Tinggi Pictures Sdn Bhd, sejak lima tahun lalu.

Terbaru produksi mereka menerbitkan projek telefilem Noda Setitik Arak yang sudahpun menjalani penggambaran. Hasil perkongsian hidup dengan Azry, pasangan ini dikurniakan dua anak, Azrell Omar, 10 dan Nur Azreen Omar, 5.

Manakala, anak keduanya, Nur Aliah Omar Iskandar meninggal dunia selepas 15 minit dilahirkan dan anak keempatnya, Ahmad Muhammad Iskandar meninggal dunia dalam kandungan berusia lima bulan ketika shooting filem Penanggal.

Antara filem lakonannya, Ana & The King (1999), Syukur 21 (2000), Filem Spinning Gasing (2001), Embun (2002), Paloh (2003), Syaitan (2007), Jangan Tegur (2009), Kelibat (2014). Minggu ini ikuti catatan wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) dan jurugambar Amiruddin Sahib dalam siri pertama Jejak Bintang Ellie Suriaty yang mengimbas siapa sebenarnya anak seni hebat ini.

Sering keluar masuk hospital sejak kecil Berbanding empat anaknya yang lain, Noriah mengakui kesukarannya membesarkan Ellie, sejak kecil.

“Saya juga sering muntah-muntah dan mengalami alahan yang teruk sepanjang tempoh sembilan bulan mengandungkannya.

Lebih teruk lagi, Ellie sering jatuh sakit seperti demam panas dan sering keluar masuk hospital,sejak bayi lagi.

“Saya dan arwah bapanya sangat bimbang dia tidak dapat membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain kerana tubuhnya yang kecil dan sangat kurus kerana sering jatuh sakit.

Kami juga terpaksa mendapatkan pelbagai vitamin dari doktor untuk memastikan dia mendapat cukup zat yang diperlukan.

“Hanya selepas memasuki sekolah tadika aliran Cina, kesihatan Ellie semakin bertambah baik,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Ellie, kata Noriah, anaknya itu sangat aktif dalam pelbagai aktiviti kebudayaan, sejak bersekolah rendah lagi.

“Ellie sering memasuki pelbagai pertandingan tarian dan nyanyian anjuran sekolahnya. Namun, saya dan bapanya tidak pernah tahu Ellie berbakat dalam bidang lakonan ketika zaman persekolahannya dulu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Noriah, Ellie juga sudah belajar erti hidup berdikari sejak usianya belasan tahun lagi.

Semuanya bermula apabila dia dan suami sepakat memasukkan Ellie ke Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) di Johor Bahru.

“Saya dan suami inginkan Ellie mendapat pendidikan di sekolah yang lebih baik demi masa depannya. Secara kebetulan, saya memiliki saudara terdekat di Johor Bahru untuk menjaganya di sana.

“Ellie juga mula menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di asrama yang disediakan pihak sekolah dan hanya pulang ke rumah ibu saudaranya itu pada hujung minggu,” katanya.

Mengimbas latarnya, Ellie mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya dari 1978 hingga 1983.

Menyusul selepas itu, dia melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu ke Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah (STAR) Klang (1984).

Namun, dia bertukar ke SIGS, Johor dari tingkatan 2 hingga 5 (1985-1988). Ibu bapa tidak tahu pembabitan awal Ellie dalam bidang seni Hubungan Ellie dengan bapanya, bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad, Omar Abdul Hamid sangat rapat sejak kecil.

Sebagai anak kesayangan, bapa juga memanggilnya dengan panggilan ‘manja’ atau ‘anja’ dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Justeru, Ellie sentiasa memastikan setiap apa yang dilakukannya terutama membabitkan karier mendapat restu daripada arwah bapanya dulu.

Namun, kata Noriah, anak keempatnya itu terpaksa merahsiakan pembabitannya dalam bidang seni kerana bapanya tidak suka jika Ellie menjadi ‘anak wayang’.

“Terus terang, kami memang tidak tahu menahu Ellie menceburi bidang lakonan kerana dia tidak pernah bercerita mengenai minatnya itu di rumah.

Sehingga pada suatu hari, bapanya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila Ellie kerap tidak pergi kerja seperti dijadualkan.

“Sebab memang sudah rutin bapanya yang akan memeriksa jadual kerja Ellie sebagai pramugari dan mengejutkannya setiap pagi untuk keluar bertugas,” katanya.

Bagaimanapun, kata Noriah, akhirnya suaminya itu merestui pembabitan Ellie dalam bidang seni selepas melihat minat dan kesungguhannya itu.

“Bapanya juga yakin dengan dengan bakat seni Ellie selepas menonton lakonannya dalam teater Mastura.

Malah, dia juga bangga bercerita lakonan Ellie itu pada kawan-kawannya di pejabat.

“Seterusnya, Ellie juga membawa kami menonton lakonannya dalam pementasan Teater Keris Sang Puteri yang dipentaskan di Istana Budaya pada 1999,” katanya.-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");