Jenayah

Empat remaja ‘pesta kerang’ hampir lemas

Marang: Orang ramai dilarang menjalankan aktiviti di sepanjang Pantai Rusila hingga Pulau Kekabu, di sini, berikutan keadaan ombak dan cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikin Satiman berikutan kejadian empat remaja yang dilaporkan hampir lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang di kawasan pantai berkenaan.

Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan semua pihak diminta memberi kerjasama bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, dua remaja berusia 15 tahun dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang yang terdampar di pantai sejak Jumaat lalu.

Malah, sebelum itu, dua pelajar sebuah pusat pengajian tinggi berusia 19 tahun dari Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu juga hampir lemas di pantai sama kira-kira jam 11.20 pagi kelmarin selepas dihanyutkan ke tengah laut.

Bagaimanapun, semua mangsa itu diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di tempat sama sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Marang untuk rawatan.

Risikin berkata, sejak fenomena ribuan kerang terdampar di pantai itu Jumaat lalu, orang ramai memenuhi kawasan itu untuk mengutip hidupan itu tanpa memikirkan keselamatan mereka.

Beliau berkata, keadaan ombak dan cuaca yang tidak menentu ketika ini tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai seperti mandi, berkelah dan mengutip kerang kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

“Dalam tempoh tiga hari, empat remaja nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mengutip kerang dan kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi.

“Selain penduduk di kawasan setempat, orang ramai dari kawasan berhampiran ghairah mengutip hidupan itu.

“Malah, ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan berniaga dengan menjual makanan dan minuman serta pakaian di lokasi berkenaan tanpa memikirkan keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, beliau akan meminta pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Marang untuk memasang papan tanda amaran di sepanjang Pantai Rusila hingga Pulau Kekabu sebagai amaran supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan itu. – hmetro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");