Sukan Hari Ini

Faktor nasib

Bekas penyerang naturalisasi Singapura Aleksandar Duric menganggap Harimau Malaya memerlukan sedikit tuah untuk menewaskan pasukan tuan rumah yang bakal beraksi dengan tenaga tempatan sepenuhnya pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 di Stadium Nasional, Kallang hari ini.

Pemain kelahiran Serbia itu yang bersara dari pentas antarabangsa selepas membantu skuad Singa menjulang kejuaraan keempat pada Disember 2012 berkata, Malaysia bermain baik dalam dua perlawanan awal cuma nasib tidak menyebelahi mereka.

“Pada saya Malaysia tidak bernasib baik sebelum ini, walaupun beraksi cemerlang mereka gagal mendapat keputusan diharapkan.

“Mereka menjaringkan gol dan kemudian dibolosi gol mudah (menentang Thailand). Tapi saya percaya apabila menentang Singapura, mereka akan bermain lebih baik seperti saya alami sebelum ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Duric, 44, dianggap penyerang prolifik Singapura sejak menyarung jersi kebangsaan pada 2007 dengan meledak 24 gol dalam 53 perlawanan.

Bekas pemain Tampines Rovers itu antara pemain luar yang dibawa masuk ke dalam pasukan kebangsaan selain Shi Jiayi dan Qiu Li dari China, Mustafic Fahrudin (Serbia) dan Daniel Bennett (England).

“Buat kali pertama Singapura akan menentang Malaysia tanpa pemain luar dan saya mahu lihat bagaimana mereka melakukannya,” kata Duric yang menjaringkan satu gol ketika Singapura mengalahkan Malaysia 3-0 pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya pertemuan Singapura dengan musuh tradisi Malaysia sentiasa dianggap istimewa dan beliau percaya pasukan tuan rumah memiliki sedikit kelebihan kali ini.

“Perlawanan ini bukan mudah untuk Singapura kerana Malaysia musuh tradisi. Malaysia perlu menang dan Singapura tidak boleh hanya mengharapkan seri untuk layak kerana boleh mengundang masalah.

“Malaysia pasti sukar kerana bermain di sini tapi Singapura pula kehilangan tonggak utama Baihakki Khaizan dan Shahdan Sulaiman.

“Jika Malaysia boleh mengambil kesempatan, mereka boleh mendapat keputusan baik,” kata Duric.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");