Membawang Hari Ini

Ilham lagu dalam kereta

Selepas kejayaan album Kotarayaku, penyanyi Hip Hop terkenal Altimet tampil mempertaruhkan single terbaru berjudul Belantara Konkrit.

Lagu itu turut menampilkan Salam dari Salam Muzik dan rapper Aman-RA.

Berbeza dengan lagu Kotarayaku yang ceria, Belantara Konkrit membawa pendengar kepada sudut berbeza mengenai Kuala Lumpur yang sentiasa dilanda masalah isu semasa.

Bercerita mengenai single itu, Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman berkata, lagu itu dicipta berdasarkan pengalamannya di ibu kota yang dikelilingi dengan bangunan tinggi.

“Suatu malam, ketika memandu di sekitar ibu kota, tiba-tiba perkataan Concrete Jungle terlintas di benak fikiran.

“Saya terfikir, bagaimana agaknya sekiranya semua bangunan tinggi bertukar menjadi pokok,” katanya pada Majlis Pelancaran Video Muzik Belantara Konkrit, kelmarin.

Sebagai anak jati Kuala Lumpur, Altimet terpanggil untuk menceritakan kisahnya menerusi lagu dan menghubungi Salam untuk memberitahu mengenai idea itu.

“Kami bekerjasama untuk menghasilkan lagu ini sejak 2011. Pada masa itu, Salam berada di Amsterdam dan kami berhubung menerusi e-mel.

“Saya turut mengajak Aman-RA untuk berkolaborasi kerana merasakan dia penyanyi yang berbakat,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya bersama The Diplomats of Drum menjayakan siri jelajah budaya di Amerika Syarikat, Altimet berkata program itu mendapat sambutan memberangsangkan.

“Kami mengadakan bengkel dan persembahan budaya mengenai seni tarian Malaysia di enam bandar raya termasuk Chicago dan Texas,” katanya.

Penyanyi itu berkata, bengkel terbabit membantu mengubah persepsi segelintir penduduk tempatan terhadap Malaysia.

“Ada penduduk tidak pernah keluar dari negeri sendiri, jadi bengkel ini sedikit sebanyak mendedahkan mereka mengenai budaya luar,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, Altimet mendedahkan dia sudah menghasilkan album bersama kumpulan The Diplomats of Drum.

“Saya tertarik untuk menyertai kumpulan itu kerana berkonsep perkusi. Lagipun saya ingin mencuba sesuatu yang baru selain rap,” katanya.

Selain membantu menaikkan namanya dalam industri, Altimet berkata, peluang itu membolehkan dia membuat persembahan di festival muzik.

Pada majlis pelancaran itu juga, Sony Music Entertainment Malaysia turut memberi kejutan istimewa dengan menyambut hari jadi ke-36 Altimet.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");