Berita Hari Ini

KDN Kawal Labuan Daripada Jadi Pusat Transit Pati

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat pemantauan dan kawalan awal bagi mengelak Labuan daripada menjadi pusat transit pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu diambil berikutan potensi Labuan untuk menjadi laluan transit PATI dari Filipina dan Kota Kinabalu untuk ke Sarawak dan Kuala Lumpur.

“KDN akan pantau bermula dengan Jabatan Imigresen dan saya sendiri akan melawat Labuan dalam masa terdekat untuk menentukan keperluan kepolisian dan sebagainya supaya ia tidak menjadi pusat transit PATI,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang ingin tahu sama ada Labuan menjadi pintu kemasukan PATI berikutan pembukaan kaunter imigresen di Lapangan Terbang Labuan baru-baru ini walaupun hanya mengendalikan penerbangan domestik.

Menjawab soalan asal Datuk Henry Sum Agong (BN-Lawas) yang ingin tahu sama ada perlindungan keselamatan di kawasan sempadan dan pedalaman seperti Lawas mencukupi untuk membendung kemasukan dadah, PATI, aktiviti judi haram dan kecurian, Wan Junaidi berkata perkara itu sentiasa dipantau pihak berkuasa.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata 49 daripada 54 badan pertubuhan yang diisytihar tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dikesan menjalankan aktiviti kongsi gelap.

Menurutnya, sebuah pertubuhan dikesan baru-baru ini menjalankan aktiviti politik.

“Selebihnya (empat) dikesan menjalankan aktiviti yang sebenarnya bukan di peringkat atau kuasa mereka untuk melaksanakan tugas, contohnya Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang mana tugas mengawal keselamatan itu sepatutnya terletak di bahu peringkat persekutuan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) mengenai pertubuhan tidak berdaftar pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di sini.

Bagi mengawal pertubuhan tidak berdaftar yang mampu mengancam keselamatan negara, Wan Junaidi berkata ROS bertindak dengan mengisytihar dan mewartakan pertubuhan berkenaan sebagai entiti yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

“Ia dibuat berdasarkan risikan dan bukti kukuh dan lengkap daripada polis berhubung aktiviti yang menyimpang atau menyeleweng daripada Perlembagaan Persekutuan, negeri dan sistem pemerintahan demokrasi, yang dilakukan mana-mana pertubuhan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pengkorporatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia tahun depan akan menambah baik jabatan itu seperti mana dilihat berlaku ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini LHDN sebagai contoh berjaya menyumbang hasil tinggi kepada negara selepas ia dikorporatkan.

“Selain meningkatnya hasil cukai yang dikutip untuk disumbangkan kepada negara, pengkorporatan juga dapat meningkatkan produktiviti kakitangan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai rancangan pengkorporatan JKDM.

Ahmad berkata usaha ke arah pengkorporatan itu sedang dijalankan.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");