Jenayah

Kes bakar al Quran: Polis tahan 8 suspek

ALOR SETAR : Polis menahan lapan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kes bakar Al-Quran di Alor Setar pada Khamis lepas.

Mereka yang ditahan dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Alor Setar itu berusia dalam lingkungan 19 dan 30 tahun.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata dalam kejadian Khamis lepas, seorang suspek ditahan selepas dipercayai membakar beberapa cebisan helaian Al-Quran dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar di sini.

“Suspek yang ditahan pada hari yang sama itu kini masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menjalani rawatan berikutan dipercayai mempunyai masalah mental dan siasatan masih diteruskan terhadap suspek,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Zakaria berkata pada hari yang sama kira-kira pukul 4 petang, lima suspek ditahan berkaitan kes memukul seorang lelaki di kawasan yang sama berikutan rasa tidak puas hati dengan kejadian membakar cebisan Al-Quran itu.

“Seorang lelaki berumur 50-an telah dipukul oleh seorang suspek menggunakan kayu pemukul besbol dan kami percaya akibat rasa tidak puas hati dengan kejadian membakar Al-Quran yang berlaku pada sebelah pagi. Mangsa yang dipukul hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kami turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai hilang di Klang pada tahun 2008, kayu pemukul besbol dan sebuah telefon bimbit. Semua suspek ditahan reman,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dua suspek yang dipercayai membakar enam gerai makan di sebuah medan selera di kawasan sama kira-kira pukul 2 pagi Sabtu lalu, juga berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

“Kami telah tahan dua suspek selain merampas bahan bukti iaitu botol minyak petrol. Mereka ditahan reman sehingga esok tapi kami akan minta sambung,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya yakin ketiga-tiga kejadian saling berkaitan kerana semua berlaku di tempat sama dalam tempoh masa yang dekat. –
-MalaysiaGazette-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");