Jenayah

Malang SUV ‘sardin’

Gerik: Tindakan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menyumbat 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan cuba melarikan diri daripada polis, gagal apabila sebuah daripadanya tercabut tayar manakala sebuah lagi merempuh belukar di Banding, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer (KM) 40 dan KM20, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli itu, kereta Toyota Harrier membawa 11 PATI manakala Nissan X-Trail memuatkan 12 PATI.

Bertindak atas maklumat awam, sekumpulan anggota dan pegawai daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik diketuai Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Gerik Asisten Superintendan Mohd Zamzuri Mat Nawi mengejar dua kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek dalam kereta pertama membawa 11 PATI cuba melepaskan diri daripada ditahan dengan membuat pusingan U pulang ke arah Kelantan semula.

“Ketika dikejar di satu selekoh tajam berhampiran jambatan Tasik Banding, kenderaan Toyota Harrier dipandu laju itu tiba-tiba tercabut tayar depan menyebabkan kenderaan menjadi tidak seimbang sebelum terbabas di sebelah kiri jalan.

“Beberapa PATI warganegara Bangladesh tergamam manakala beberapa orang lagi lari ke hutan, tetapi semua 11 orang itu ditahan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Manab berkata, sebuah lagi kenderaan Nissan X-Trail dapat dikesan di Kilometer 20, JRTB menghala ke Gerik turut membawa PATI sebelum mengekorinya sehingga beberapa kilometer.

Menurutnya, sebaik pemandu kenderaan itu menyedari diekori, kenderaan terbabit menyusup masuk ke hutan melalui jalan kecil sebelum terhalang dengan semak-samun dan batang kayu.

“Semua 12 penumpang warganegara Bangladesh terbabit cuba melarikan diri untuk bersembunyi di hutan berkenaan sebelum mereka ditahan anggota kami.

“Dua pemandu daripada dua kenderaan terbabit yang lari ke dalam hutan berkenaan tidak dapat dikesan meskipun operasi mencarinya dilakukan kerana mungkin mereka masuk ke dalam hutan tebal,” katanya.

Beliau berkata, semua 23 PATI yang ditahan berusia antara 20 dan 50-an dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sempadan Kelantan dan Thailand.

“Siasatan mendapati semua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan diserahkan kepada ejen di Pulau Pinang dan Ipoh untuk tujuan bekerja sebagai buruh kasar atau bekerja di ladang.

“Kedua-dua pemandu kenderaan terbabit dipercayai rakyat tempatan dan siasatan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan nombor plat palsu dan dipercayai dicuri,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");