Jenayah

Polis rampas syabu bernilai RM7.1j

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pengedar antarabangsa cuba menyeludup dadah seberat 35.2 kilogram yang disembunyikan di dalam alat elektrik dan beg yang diubah suai terbongkar selepas Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting) membuat rampasan dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil maklumat orang awam, risikan polis dan kerjasama daripada syarikat kurier.

“Siasatan mendapati sindiket didalangi warga Nigeria menggunakan syarikat perkhidmatan kurier dan kiriman kargo udara untuk menyeludup dadah yang dianggarkan bernilai RM7.1 juta.

“Hasil pemeriksaan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Petaling Jaya pada 19 November lalu, polis menemui enam kotak mengandungi alat elektrik seperti dapur pemanas elektrik, periuk dan cerek air yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.3 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati peralatan tersebut dikirim dari China kepada individu yang menggunakan alamat palsu di Lembah Klang.

“Rampasan kedua pula dilakukan pada 25 November lalu, di Kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kita berjaya mengesan enam buah beg warna hitam mengandungi 32.9 kilogram syabu,” katanya.

Menurutnya, dadah itu diletak di bawah lapisan kertas karbon untuk mengelak dikesan mesin pengimbas. Bagaimanapun, risikan polis berjaya mengesan cubaan membawa masuk dadah tersebut.

“Setelah diperiksa, beg itu dihantar melalui penerbangan dari Abuja ke Mesir sebelum tiba ke KLIA yang diisytiharkan sebagai barang persendirian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, pihaknya giat bekerjasama dengan pemilik syarikat perkhidmatan kurier dan orang awam mengesan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kita juga sedang mengesan sindiket yang menjalankan kegiatan ini untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");