Perak Hari Ini

Program TUBE Bantu Golongan Belia Jana Pendapatan

BIDOR:Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) anjuran SME Corp. Malaysia telah berlangsung secara serentak bertempat di lima Kem Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

Program berkenaaan melibatkan penyertaan daripada negeri Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang mensasarkan 500 peserta belia bumiputera bertujuan memupuk budaya keusahawanan melalui latihan ‘boot camp’ serta bengkel perniagaan.

Majlis pelancaran TUBE peringkat zon utara kali ini telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri (MITI) Datuk Seri Mustapha Mohamed bertempat di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Nilam Ehsan dekat Bidor Perak.

Beliau dalam ucapan perasmiannya juga turut menyeru agar golongan belia bumiputera amnya menceburi bidang keusahawanan dengan lebih giat lagi.

Golongan belia bumiputera juga katanya merupakan aset berharga yang perlu digembleng kemahiran serta kepakaran mereka bagi pembangunan negara.

“TUBE berperanan bagi menggalakkan dan mengubah prespektif para belia daripada menjadi golongan pekerja kepada pemilik perniagaan selari dengan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)  iaitu untuk meningkatkan penubuhan perniagaan yang mampan,” katanya.

Katanya lagi, selain bantuan daripada segi kewangan peserta yang berjaya mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya berpeluang memohon bantuan kewangan lain dan latihan tertentu yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Pelbagai program yang dilaksanakan di Perak telah memberi manfaat kepada 16,807 belia dari negeri ini dan melibatkan peruntukan sebanyak RM143.5 juta dan pastinya negeri-negeri lain juga mempunyai program khusus buat pembangunan belia,” katanya lagi.

TUBE terbahagi kepada tiga fasa, fasa 1 merupakan program tujuh hari menerapkan latihan fizikal melalui ‘boot Camp’ untuk ketahanan diri, manakala fasa 2, program tujuh hari juga bagi mengetengahkan bengkel modul bengkel perniagaan dan fasa ke tiga, merangkumi sistem ‘buddy’ oleh kaunselor perniagaan terpilih.

Hadir sama Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Datuk Samsudin Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Program TUBE ini juga merupakan usahasama SME Corp Malaysia, dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Khidmat Negara (PLKN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");