Jenayah

Raungan mayat terbujur

Kuala Ketil: Seorang pemuda hanya mampu menangis dan meraung apabila melihat mayat ibu bapa saudara yang memeliharanya sejak kecil terbujur kaku berlumuran darah di rumah mereka di Taman Desa Bidara, dekat sini, semalam.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 30-an, berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, dia terkejut apabila mendengar jeritan anak saudara pasangan terbabit yang berusia 20-an.

“Saya terkejut mendengar jeritan sayunya seperti meminta tolong. Saya bersama beberapa jiran lain terus ke rumahnya dan terkejut melihat pasangan suami isteri itu telentang dan berlumuran darah di ruang tamu dan di ruang makan,” katanya.

Mangsa, Zahari Yahya, 66, dan Salmah Hussin, 61, dipercayai dibunuh kerana ada kesan tetakan senjata tajam di belakang tengkuk masing-masing, namun motif kejadian masih tanda tanya kerana tiada barangan berharga yang dicuri daripada mereka.

Difahamkan, Zahari pernah berkhidmat di Jabatan Kesihatan Kuala Muda manakala isterinya, Salmah sebelum ini bertugas sebagai Ketua Jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sebelum bertukar ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil.

Lan berkata, anak saudara mangsa bekerja kilang tidak jauh dari rumahnya dan sudah menjadi kebiasaan pulang setiap hari untuk makan tengah hari di rumah.

“Saya diberitahu, hari ini (semalam) dia pulang seperti biasa untuk makan, tapi sebaik tiba dia hairan melihat pintu pagar dan pintu rumahnya tidak ditutup rapat, lalu dia terus masuk dan mendapati keadaan rumah gelap.

“Sebaik membuka lampu dia terkejut melihat mayat ayah saudaranya di ruang tamu manakala ibu saudaranya di ruang makan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, penduduk kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Ketil bagi memaklumkan kejadian itu.

Lan berkata, pasangan warga emas itu tidak mempunyai anak, tapi memelihara sepasang anak saudara, namun hanya yang lelaki masih tinggal bersama mereka manakala yang perempuan sudah berkahwin dan tinggal di Padang Serai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian menemui kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu manakala isterinya di ruang makan dengan kesan berlumuran darah.

“Siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat beberapa tetakan senjata tajam di belakang tengkuk kedua-dua mangsa, namun senjata yang digunakan bagi membunuh kedua-dua mangsa tidak ditemui,” katanya.

Nashir berkata, setakat ini, polis mendapati tiada kesan samun kerana keadaan rumah mangsa tidak digeledah, malah dompet serta barang kemas berada dalam keadaan baik

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif pembunuhan itu dan anak saudara mangsa kini ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");