Berita Hari Ini

RM9.7 Bilion Dibelanja Bagi Laluan 1 MRT

PETALING JAYA: Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) membelanjakan RM9.7 bilion bagi projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan 1) setakat ini, kata Ketua Eksekutif Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata peruntukan RM23 bilion bagi projek Laluan 1 diberikan oleh kerajaan secara berperingkat dan bukan bayaran berbentuk sekali gus.

“Projek yang dibiayai kerajaan, yang dijangka siap menjelang Julai 2017, berjalan secara berperingkat, dan diberi tempoh untuk disiapkan, peruntukan akan digunakan sepenuhnya,” katanya.

Azhar berkata demikian pada taklimat media berhubung kemajuan projek MRT di sini, Rabu.

Setakat ini, katanya 78 pakej-pakej kerja bernilai RM21.02 bilion telah diberikan kepada kontraktor dengan tujuh lagi projek belum diberikan.

“Lima daripada tujuh projek itu bernilai RM250 juta. Syarikat bagi pakej-pakej tersebut telah disenarai pendek,” katanya.

Beliau berkata pembinaan projek Laluan 1 itu siap 55.21 peratus setakat pada 31 Okt, 2014.

“Pada tahap ini, kami yakin untuk mencapai sasaran bagi keseluruhan laluan tersebut untuk beroperasi pada Julai 2017,” katanya, sambil menambah bahawa 53 peratus daripada landasan laluan atas telah siap.

Beliau berkata pakej kerja-kerja bawah tanah, yang meliputi pembinaan stesen bawah tanah dan terowong 70 peratus siap.

Azhar berkata syarikat sedang memasang tiga tren di pusat pemasangan tren kontraktor di Hulu Selangor.

“Kami akan menghantar tren-tren ini ke depoh Sungai Buloh tidak lama lagi, yang dibina di kawasan seluas 73 hektar, bagi ujian dinamik,” katanya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");