Perak Hari Ini

Saluran Air Sempit Punca Banjir di Kampung Piandang

IPOH: Penduduk Kampung Piandang Jalan Siputih, dekat Batu Gajah yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda kampung itu semalam, meminta pihak yang bertanggungjawab agar memberikan perhatian terhadap sistem perparitan di situ.

Kejadian banjir tersebut dikatakan kerap berlaku setiap kali hujan lebat dan sistem perparitan yang tidak sempurna serta sempit mengakibatkan paras air naik secara tiba-tiba.

Tinjauan Peraktoday.com.my mendapati, air di kawasan yang dilanda banjir tersebut sudah pun surut dan rata-rata penduduk sudah mula melakukan proses pembersihan rumah mereka.

Manakala, banjir pula dipercayai berpunca daripada aliran air di Sungai Bakong yang tidak lancar dan tersekat berhampiran beberapa buah rumah penduduk menjadi punca kepada takungan air di kawasan tersebut.

Menurut seorang penduduk, Mohd Kamal Ridhuan, kejadian banjir di kawasan penempatan mereka itu menjejaskan kehidupan seharian mereka.

“Paras air naik mencecah pinggang bila banjir tiba-tiba malam tadi dan kami semua telah dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Di sini kerap banjir dan kalau air naik, memang jadi masalah kepada kami kerana perkakas rumah banyak yang rosak serta kami terpaksa membersihkannya setiap kali banjir.

“Pernah satu ketika, air naik sampai paras leher dan ular sawa pun pernah masuk dalam rumah,” katanya.

Beliau yang bimbang akan keselamatan keluarganya itu menyatakan bahawa saluran laluan air yang sempit telah menjadi punca utama berlakunya banjir di kawasan berkenaan.

“Saya harap pihak yang berkenaan mengambil perhatian serius dengan memperbesarkan lagi kawasan laluan air ni.

“Memang mereka ada besarkan sungai, tetapi kalau salurannya sempit, ia tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir keluar daripada kawasan ini dan itulah sebabnya jadi banjir macam ini,” tambahnya.

kampung piandang2

Terdahulu, seramai 25 mangsa daripada empat buah keluarga dari Kampung Piandang, di Jalan Siputih dekat Batu Gajah telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai kampung itu berikutan berlakunya banjir kilat.

Pusat pemindahan tersebut dibuka kira-kira jam 7 malam semalam berikutan hujan lebat yang bermula pada jam 3 petang dan seterusnya menyebabkan air mula naik kira-kira 5.30 petang.

Kesemua mangsa telah pun dibenarkan pulang berikutan air mulai surut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");