Jenayah

Tak sempat solat hajat anak SPM

Kenderaan yang dipandu Zamzuri remuk teruk akibat kemalangan itu:-

MACHANG – Hasrat seorang bapa untuk turut serta solat hajat sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anaknya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di simpang empat, dekat Membunga di sini, malam kelmarin.

Zamzuri Haron, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

Isteri Mangsa, Noor Asiah Ali, 44 dan dua anak perempuannya, Siti Mariani, 19 dan Siti Nursofia Dayana, 12 cedera parah manakala anak lelakinya, Muhammad Nur Irfan Haziq, 15, cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Kamal Azural Mohamed berkata, kemalangan itu berlaku di Kilometer 40, jalan lama Kota Bharu-Kuala Krai, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, ketika kejadian bas dari Pasir Puteh tidak sempat mengelak lalu melanggar jenis kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu di simpang empat Membunga itu.

“Ketika itu jalan gelap dan lampu isyarat tidak berfungsi. Punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,? katanya.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Banggol Judah, dekat sini, dari rumah mereka di Gombak, Selangor dan dipercayai terlepas simpang seterusnya, memaksanya berpatah balik ke Banggol Judah.

Anak mangsa yang bakal menduduki SPM dikatakan tinggal bersama keluarga Noor Asiah di Kampung Banggol Judah dan bersekolah di sini.

Manakala, bas terbabit membawa 40 murid dan dua guru dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Perlis untuk lawatan sambil belajar.

Pemandu dan semua penumpang bas termasuk dua guru tidak mengalami sebarang kecederaan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");