Berita Hari Ini

Tinggal 21.7 peratus tanah milik Melayu di Kuala Lumpur – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Tanah milik orang Melayu di ibu negara kini dianggarkan hanya berbaki 21.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding 100 tahun dulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata peratusan pemilikan hartanah itu hanya mewakili sekitar 93,000 unit berbanding bangsa lain.

Jurang besar itu katanya menjadi cabaran yang harus dihadapi orang Melayu di Wilayah Persekutuan dan hakikat ini perlu ditelan biarpun pahit.

“Jika ratusan tahun dulu hampir 100 peratus tanah di Kuala Lumpur milik orang Melayu tapi sekarang hanya tinggal 21.7 peratus masih dimiliki bangsa kita. Persoalannya sampai bilakah 21.7 peratus itu boleh bertahan jika tiada penukaran minda, kaedah dan penyelesaian segera kita dilakukan.

“Jangan kita salahkan sesiapa kerana satu ketika dulu 30 peratus hartanah diberi kepada orang Melayu tetapi hilang begitu saja disebabkan sikap kita sendiri yang menggadai dan menjual kepada bangsa lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pagi tadi.

Konvensyen julung kali diadakan itu dirasmikan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan dihadiri kira-kira 600 pemimpin dari 13 bahagian UMNO Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata orang Melayu Wilayah Persekutuan juga dianggarkan mempunyai pendapatan purata sekitar RM2,000 hingga RM3,000 ringgit untuk setiap isi rumah, sebulan.

“Pemilikan rumah juga menyaksikan Melayu masih lagi ketinggalan berbanding bangsa lain. Bayangkan, harga rumah di ibu kota paling rendah adalah RM300,000 sedangkan kemampuan (membeli) untuk Melayu bandar adalah di bawah RM150,000 saja,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Tengku Adnan turut menggariskan lima agenda penting yang perlu digembleng barisan kepemimpinannya dalam usaha memperkasa Melayu bandar.

Ia termasuk memperkukuh agama Islam; memantapkan Barisan Nasional (BN); mendekati golongan belia dan profesional; meningkatkan jurang ekonomi Melayu bandar serta Strategi turun padang dan selami permasalahan rakyat.

-bharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");